Pasca PRN Sarawak: Gagasan satu logo dan kesatuan Pakatan Harapan

Pasca PRN Sarawak: Gagasan satu logo dan kesatuan Pakatan Harapan

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang ke 11 merupakan simbolik kepada kepada kegagalan Pakatan Harapan yang gagal untuk menambah inti (isi) tetapi hanya mampu menambah polemik pergeseran dan politik seksi yang kerap dimainkan oleh pembangkang.

Tanpa menafikan bahawa BN juga memperuntukkan puluhan juta wang untuk memastikan kemenangan di tangan mereka dengan pelbagai strategi kotor dan juga kesan daripada persempadanan semula. Tetapi dalam masa yang sama, Pakatan Harapan perlu sedar bahawa mereka juga lemah kerana gagal mengatasi kelemahan mereka sendiri.

Kelemahan yang paling ketara ialah kegagalan untuk menghormati keputusan mesyuarat, prinsip agree to disagree perlu dihapuskan sepertimana yang digagaskan dalam Dokumen Konsensus Pakatan Harapan yang dilancarkan pada hujung tahun lepas di SACC Shah Alam.

Kegagalan mempamerkan kesatuan sehingga menyebabkan pertindihan kerusi dan kekalahan di kerusi pertindihan adalah strategi politik bodoh yang tidak seharusnya berlaku dalam sesebuah koalasi politik.

Siapa yang rugi? Asasnya sudah pastinya rakyat, kerana atas kegagalan kita mengurus persepsi dan strategi, rakyat Sarawak terpaksa terus menderita lebih lama dibawah pemerintahan korup BN.

Analisis yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr. Awang Azman dari Universiti Malaya sewaktu ditemu bual di Agenda Awani Khas Sarawak, beliau mengatakan bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah di Sarawak adalah bukti bahwa rakyat Sarawak sedang berada dalam sindrom kekeliruan, khususnya dalam hal pertembungan kerusi pembangkang antara DAP dan PKR.

Sewaktu Konvensyen Majlis Presiden Pakatan Harapan yang lalu saya selaku anak muda yang mewakili parti Amanah mencadangkan dengan penuh semangat bahawa dalam jangka masa panjang Pakatan Harapan (PH) perlu bergerak atas satu logo dan satu bendera.

Supaya mesejnya jelas, inilah adalah Pakatan Harapan, bukannya PKR+Amanah+DAP secara literalnya dan dalam mana-mana pilihan raya PH perlu bergerak secara koalasi dan atas satu simbol.

Dalam jangka masa panjang saya percaya PH akan “better off” dari aspek kesatuan politiknya.

Timbalan Presiden PKR mengajak PAS untuk bersama dalam DAP, AMANAH & PKR.

Secara peribadi saya bersetuju atas usaha ini, namun secara prinsipnya, usaha ini seharusnya didahului dengan perbincangan lumat dalam Majlis Pakatan Harapan, soal ia diterima atau tidak ia soal yang ke 10, tetapi perlu menghormati parti-parti yang lain, lebih baik ia dibicarakan terlebih dahulu, sebelum diberikan secara terbuka bagai seorang lagak hero yang cuba mengganti hero yang terpenjara.

Konklusinya, sebagai sebuah koalasi yang matang yang telah menghadapi pelbagai pengalaman dan siri pilihan raya, seharusnya golongan senior politik di dalam parti perlu sedar bahawa kesatuan di antara pakatan adalah kunci utama kepada ketumbukan sesebuah koalasi, isi pembawaan serta imej koalasi tidak akan sempurna tanpa ada satu kesatuan yang jelas yang dapat dibuktikan kepada pengundi khususnya rakyat Malaysia.

Sekiranya kita gagal untuk menguruskan persepsi dan konflik kita, bagaimana kita mampu memimpin Malaysia?

Anologi mudah untuk rakyat menilai kita, “gagalnya kita menunjukkan kesatuan, selama-lamanya rakyat tidak akan percaya bahawa kita mampu memimpin Malaysia.”

___________________________

* Penulis ialah Exco Pemuda Amanah Nasional dan Mantan Presiden PMUM

CATEGORIES
TAGS