Malaysia Dateline

Pasleaks sebabkan Pas tidak boleh dipercayai lagi, dakwa bekas pemimpin

Tindakan Pas yang hanya mengenepikan dakwaan kebocoran maklumat sulit Pas dengan menafikannya telah menyebabkan parti itu kini menjadi parti yang tidak boleh dipercayai.

Bekas Naib Presiden Pas yang kini Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Pas ini telah menyebabkan parti itu dilihat flip flop bertukar ganti selalu.

“Isu Pasleaks menyebabkan Pas menjadi parti yang tidak boleh dipercayai lagi.

“Semua orang tahu, sikap flip flop ini yang hanya nak kekal kelangsungan kerusi empok kepimpinan mereka sekarang sahaja.

“Bayangkan dalam dokumen itu, sebelum bincang dengan Bersatu, Pas nak bincang dengan AMANAH dan PKR, lepas itu baru Bersatu.

“Ini semua usaha-usaha nak kekalkan kerusi empuk sahaja bukan atas dasar prinsip perjuangan,” kata Mahfuz dalam majlis Iftar Perdana dan Penerangan Isu Semasa di Pasir Mas malam tadi.

Sebelum ini, Pas mati matian menafikan audio rakaman suara seorang pemimpin Pas tentang hubungannya dengan Umno dan bagaimana pemimpin Pas menerima duit Umno.

Namun selepas itu, ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengaku itu suara beliau dan mengecam pihak yang membocorkannya.

Ekoran Pas tidak dipercayai lagi, Ahli Parlimen Pokok Sena itu, menyeru kepimpinan AMANAH khasnya di Kelantan agar bersedia menggantikan Pas.

“Kalau bukan AMANAH, siapa lagi,” kata beliau dalam majlis yang mendapat sambutan hangat dari rakyat Kelantan dan memberikan semangat baru kepada kepimpinan negeri itu.

“AMANAH mesti membina kepercayaan rakyat. Ini kerana mereka bukan harapkan benda sahaja tetapi sebuah kejujuran dari pemimpin untuk membela masyarakat dan negara,” kata beliau yang menyifatkan rakyat hilang kepercayaan kepada pimpinan Pas yang ada.

Menurut Mahfuz, selepas kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan melalui pintu belakang, pelbagai nasib malang yang menimpa rakyat negara ini dan gagal dibela oleh kerajaan yang ada.

“Hari ini rakyat tengah lapar, bukan kerana puasa tetapi kerana kos hidup yang tinggi.

“Masa pandemik, hilang pekerjaan. Masa peralihan ke endemik, meningkat pula kos kehidupan.

“Jadi rakyat berhadapan dengan masalah berterusan.

“Kerajaan tak fikir untuk berbuat sesuatu. Yang ada hanya beri subsidi, tidak ada cara lain.

“Misalnya bila ayam naik harga. Kerajaan tidak fikir cari cara untuk kurangkan harga ini melainkan sabsidi.

“Padahal isu sebenarnya adalah kos bahan mentah makanan ayam. Dia tak selesaikan isu pokok ini selain dari sabsidi,” kata Mahfuz.

Sehubungan itu, Mahfuz meminta pemimpin AMANAH memperjuangkan isu yang dekat dengan hati nurani rakyat.

Semasa kerajaan PH, masalah kenaikan harga tidak pernah berlaku bahkan menjadi kebanggaan rakyat sebagai salah satu kejayaan besar kerajaan iaitu mengekang kenaikan harga barang.