Malaysia Dateline

Pasport Malaysia

Pasport satu keistimewaan bukan hak perlembagaan, kata Mahkamah Rayuan

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hak warganegara Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak bersifat mutlak kerana hak itu diberikan tertakluk kepada sekatan termasuk hak untuk perjalanan ke luar negara.

Dalam penghakiman 44 muka surat, Hakim Tan Sri Idrus Harun berkata halaman terakhir dalam pasport Malaysia jelas menyatakan bahawa pasport adalah harta kerajaan yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

Beliau berkata syarat-syarat yang dinyatakan dalam pasport menunjukkan bahawa pengeluaran pasport Malaysia adalah satu keistimewaan yang diberikan kepada rakyat oleh kerajaan tertakluk kepada budibicara sama ada untuk membenarkan atau menghalang seseorang daripada meninggalkan negara.

“Dalam penghakiman kami, rakyat tidak mempunyai hak perlembagaan untuk meninggalkan negara dan melakukan perjalanan ke luar negara,” kata beliau dalam penghakiman yang diedarkan kepada media hari ini.

Idrus berkata siasatan ke atas anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua di bawah Seksyen 124 B Kanun Keseksaan (aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen) adalah fakta yang menjadi justifikasi yang sah dan sahih untuk menafikan keistimewaan itu kepadanya.

Beliau berkata keputusan berhubung sekatan perjalanan itu bukan bertujuan sebagai sekatan berterusan atau kekal agar Pua dilucutkan sepenuhnya keistimewaan tetapi sebaliknya ia cuma keputusan untuk membantu siasatan oleh pihak polis,” kata beliau.

“Tidak ada janji atau representasi yang dibuat oleh responden (ketua pengarah imigresen dan kerajaan) bahawa walaupun dengan pasport yang sah, peratu (Pua) tidak akan dihalang daripada meninggalkan negara atas sebab-sebab yang sah,” kata beliau.

Semalam, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Idrus dan Datuk Kamardin Hashim menolak rayuan Pua untuk membatalkan keputusan ketua pengarah imigresen melarangnya daripada melakukan perjalanan ke luar negara.

Mahkamah memutuskan bahawa kebebasan diri yang dijamin dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak termasuk hak warganegara untuk melakukan perjalanan ke luar negara dan mempunyai hak kepada pasport.

Pua yang juga setiausaha publisiti kebangsaan DAP, mendakwa beliau dihalang daripada meninggalkan negara untuk ke Yogyakarta di KLIA 2 pada 2 Julai, 2015.
Dia mendakwa bahawa keputusan mengenai sekatan perjalanan itu adalah bercanggah dengan haknya secara sah untuk membuat perjalanan ke luar negara.

Dalam penghakimannya, Idrus berkata hak untuk melakukan perjalanan ke negara asing tidak wujud dalam undang-undang antarabangsa tetapi tertakluk di bawah treati, perjanjian konvensyen.

Idrus berkata Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap warganegara berhak bergerak dengan bebas tetapi tidak menyatakan mengenai hak warganegara untuk meninggalkan negara, membuat perjalanan ke luar negara dan mempunyai pasport.

Beliau juga memutuskan bahawa Seksyen 59 Akta Imigresen 1959 yang tidak memasukkan hak seseorang untuk didengar, adalah sah dan mengikut perlembagaan.

Idrus berkata undang-undang menjelaskan bahawa istilah “kebebasan diri” dalam Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah menyentuh hak seseorang tidak tertakluk kepada pemenjaraan, ditangkap atau pemaksaan fizikal yang lain dan tidak merangkumi hak untuk melakukan perjalanan ke luar negara atau hak kepada pasport.