Malaysia Dateline

Pasti bertukar jadi tadika AMANAH di Tumpat

Sebuah Pasti yang selama ini dikendalikan oleh Pas cawangan Kampung Laut di Tumpat akan bertukar menjadi tadika di bawah kelolaan AMANAH.

Ketua cawangan AMANAH Kampung Laut, Haji Nordin Adam berkata keputusan itu telah dibincang dengan pihak Pas cawangan sebelum tamat sessi persekolahan yang lalu.

Haji Nordin menyampaikan sumbangan awal persekolahan di tadika AMANAH.

“Kita telah maklumkan kepada ibu bapa dan orang ramai berkaitan perkara ini semasa program ihtifal Pasti itu yang dirasmikan oleh Adun Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya perundingan antara cawangan Pas dan AMANAH Kampung Laut telah berjalan dengan baik.

“Pihak Pas akan memindahkan kelas Pasti kelolaannya di premis baru berhampiran pasar Kampung Laut.

“Tempat asal kelas ini adalah bangunan milik saya dan berada dalam halaman rumah saya sendiri dan ia akan terus menjadi kelas tadika yang akan dikelolakan sepenuhnya oleh pihak AMANAH,” katanya.

Ibu bapa yang hadir untuk menerima sumbangan awal persekolahan anak-anak mereka.

Sepanjang operasi Pasti selama 27 tahun di sini katanya, beliau dan keluarganya yang membiayai sepenuhnya kelas berkenaan.

“Saya tidak pernah mengutip derma orang ramai atau menerima apa-apa bantuan kerajaan dalam menguruskan kelas Pasti itu.

“Semua peralatan dan kemudahan yang ada di premis ini saya akan gunakan untuk kegunaan tadika yang baru,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas majlis penyampaian bantuan pakaian sekolah kepada pelajar-pelajar miskin di daerah mengundi Kampung Laut yakin orang ramai akan memberi sambutan baik kepada tadika baru yang akan beroperasi nanti.

“Ibu bapa menjadikan tempat ini pilihan kerana lokasinya yang selamat dan persekitaran yang mempunyai infrastruktur yang lengkap.

“Kompleks ini lengkap berpagar di dalam kawasan kediaman keluarga kami.

“Juga terdapat masjid yang membolehkan aktiviti-aktiviti sampingan dan kegiatan-kegiatan ibadah di lakukan,” katanya.

Tadika baru ini menurut beliau, akan mengekalkan tradisi mengenakan yuran terendah berbanding tadika lain di sekitarnya.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa AMANAH (JDUN) Pasir Pekan berkata, program penyampaian bantuan awal persekolahan akan diadakan di semua daerah mengundi di Dun berkenaan.

“InsyaAllah majlis penyampaian ini akan diadakan di lokasi tempatan setiap daerah mengundi.

“Sekurang-kurangnya 20 orang penerima yang layak akan mendapat bantuan,” katanya.

Beliau juga memberitahu program berkhatan peringkat Dun yang secara tradisi diadakan di masjid berdekatan rumahnya turut diadakan.

“Kita juga bercadang mengadakan program gunting rambut percuma sempena kembali ke sekolah hujung bulan nanti,” katanya.