Malaysia Dateline

Pastikan apa berlaku di Amerika tidak merebak ke Malaysia, kata Mohamad Sabu

AMANAH mengajak rakyat negara ini berusaha agar tragedi perkauman yang berlaku di Amerika Syarikat sekarang tidak merebak kepada negara ini, kata presidennya Mohamad Sabu.

“Biarlah menjadi sejarah mereka di sana sahaja dan tidak perlu sampai menjadi sejarah negara kita pula,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua rakyat mengeratkan perpaduan, saling hormat menghormati sesama rakyat di Malaysia.

Mohamad bimbang dengan trend perjuangan ketuanan atau supremacy Melayu dan Islam yang banyak disebarkan di masjid dan surau negara ini sekarang.

“Meraka agungkan ketuanan Melayu, bukan Melayu yang bertaqwa, Melayu yang berintergriti, Melayu yang berwibawa.

“Mereka berkata, biarlah Melayu jahat, rasuah, mencuri dan merompak, asalkan dia Melayu dan Islam mesti disokong kerana akhirnya akan masuk syurga juga.

“Kalau ia Cina, mereka tidak akan masuk syurga. Inilah yang tersebar sekarang khasnya di masjid,” kata Mohamad dalam Video Minda Presiden yang dikeluarkan.

Bagi bekas Menteri Pertahanan itu, isu perkauman umpama api yang memakan sekam.

“Ia sentiasa bergerak dalam masyarakat dan akhirnya kita akan sedar bila apinya sudah terlalu marak dan membakar hangus rumah kita.

“Ketika itu tangisan sudah tidak berguna kerana negara sudah hancur dan perlu pemulihan kembali. Apa yang melanda Amerika tidak mustahil melanda negara kita,” kata Mohamad.

Menurut beliau, apabila pihak yang mengagungkan perkauman berada dipuncak kuasa, pertimbangan mereka bukanlah lagi kepada akal dan logik mahupun pedoman Al Quran sebaliknya emosi dan sentimen.

“Sedangkan Islam mengajar kita untuk sentiasa berlaku adil dan ihsan terhadap semua makhluk ciptaan Allah SWT ini,” katanya.