Malaysia Dateline

Pastikan Belanjawan N. Sembilan dilaksanakan segera, kata Aminuddin

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun meminta semua jabatan terlibat di negeri ini memastikan perkara yang telah diluluskan pada Belanjawan Negeri Sembilan 2019 pada Disember 2018 dapat dilaksanakan segera.

“Saya mohon kepada semua jabatan yang terlibat memastikan segala yang telah kita umumkan (diluluskan) dapat dilaksanakan dengan baik dan telus, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat daerah.

“Hari ini kita memasuki bulan Februari dan kita ingin melihat bahawa apa yang kita sebut dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2019 di Dewan Undangan Negeri pada Disember 2018 dapat dilaksanakan di setiap daerah,” katanya pada majlis Perhimpunan Pentadbiran Kuala Pilah di sini, pagi ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr. Razali Ab Malik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Muhamad Nahar Mohd Sidek, Pegawai Kewangan Negeri Mohd Khidir Majid dan Pegawai Daerah Kuala Pilah Sharul Nizam Saleh.

Aminuddin berharap semua Pejabat Daerah bersedia dan hari ini sepatutnya pejabat terlibat telah mula melaksanakan apa yang telah diumumkan itu.

Beliau juga meminta semua ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini supaya perlu memahami apakah Belanjawan Negeri Sembilan 2019.

“Saya hendak mereka faham Belanjawan tersebut dilaksanakan di daerah-daerah. Sepatutnya Belanjawan itu dapat dilaksanakan dengan segera tanpa ada alasan-alasan yang tidak munasabah,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua penjawat awam di negeri ini supaya melaksanakan tugas dengan rasa penuh tanggungjawab, amanah dan berintegriti.

“Bebaskanlah diri daripada apa juga unsur penyelewengan, salah guna kuasa, ketirisan dan rasuah. Peranan kita adalah menjalankan tugas dengan penuh integriti, telus dan berakauntabiliti dalam mewujudkan tadbir urus yang baik,” katanya.