Malaysia Dateline

Pastikan Dasar Perpaduan Negara bukan hanya helah politik, kosmetik

Kementerian Perpaduan Negara perlu menjelaskan rancangan kerajaan dalam memastikan blueprint Perpaduan Negara 2021-2030 (RTPN) yang dilancarkan baru-baru ini, bukan hanya satu helah politik atau pelan perpaduan berstatus ‘kosmetik’.

Ini kerana, wujud parti-parti politik yang bertunjangkan politik identiti yang asasnya berdasarkan agama dan kaum seperti Umno, Pas, MCA dan MIC, yang akan menggugat semangat perpaduan.

Ia ditegaskan Ahli-ahli Parlimen Dewan Negara dan Dewan Rakyat Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini.

“Politik identiti atau politik perkauman inilah yang akan menggugat keamanan dan semangat perpaduan di antara semua etnik negara kita kerana keanggotaan parti-parti ini berdasarkan kaum.

“Bagi salah sebuah parti pula, ianya adalah mengikut agama,” kata mereka.

Sementara itu PH menegaskan, semua pihak tetap akan mengulangi sikap yang sama sekiranya tiada penggubalan undang-undang yang menetapkan bahawa segala penulisan atau ucapan kebencian terhadap agama adalah satu kesalahan.

“Setakat memiliki dokumen dasar dan blueprint perpaduan yang tidak disertai dengan penggubalan undang-undang baharu, akhirnya hanya akan menyebabkan kita mengulangi kesukaran dan pengalaman-pengalaman yang sama.

“Slogan-slogan atas nama kaum bersifat provokatif dan retorik atas nama agama yang bernada ekstrem perlu dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.

“Usaha ke arah ini mesti dilakukan secara serius, “without fear and favour,” tegasnya lagi.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Ahli Dewan Negara, Senator Aiman Athirah Al Jundi, Senator Lim Hui Ying, Senator Datuk Theodore Douglas, dan Adrian Banie Lasimbang.

Ahli Parlimen PH pula disertai Kasthuri Patto dan Alice Lau.

Mengulas lanjut PH berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Perpaduan Negara perlu melibatkan semua parti dan elit politik tanah air untuk menangkis agenda politik sesetengah pihak yang mungkin akan menunggang blueprint ini untuk untung laba mereka.

Katanya, agenda perpaduan negara memerlukan komitmen tinggi dan “political will” yang ikhlas dan jujur, dengan semangat patriotik yang sebenar, dan bukannya terkepung dengan kepentingan-kepentingan politik kepartian dan kelompok yang jumud dan sempit.

“Rakyat bukan sahaja sedang bergelut dengan wabak Covid-19, tetapi juga dengan pihak yang sering mengapi-apikan isu perkauman dan agama,” ujarnya lagi.