Pastikan dulu niat, sebab memilih wakil rakyat, pesan Rafizi kepada pengundi Rantau

Pastikan dulu niat, sebab memilih wakil rakyat, pesan Rafizi kepada pengundi Rantau

Naib Presiden PKR menyeru pengundi Melayu di Rantau memastikan sebab dan niat yang betul untuk membuang undi pada Sabtu ini.

Beliau berkata, walaupun hak mengundi terletak ditangan rakyat namun untuk melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat perlulah berdasarkan ilmu.

” Hak mengundi hak masing-masing. Pastikan undi atas sebab dan niat betul dengan berdasarkan ilmu buat keputusan setelah membandingkan semua.

“Jika pengundi Melayu di Rantau rasa Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) paling jujur, bagus, selamatkan Melayu, berkhidmat dengan baik selama ini, bakal PM, tapi jangan pilih Tok Mat atas dasar Streram kerana dia India, tak mau undi calon  PH kerana mereka kafir harbi.

“Ini tidak untungkan pengundi Melayu. Mengundi dengan prasangka dan sentimen salah, itu membodohkan diri dan merugikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara Melayu Terancam (Melayu Kini vs Melayu Kroni) Anda Tanya, Saya Jawab!Rafizi Ramli dalam kempen Pakatan Harapan (PH) malam tadi.

Rafizi turut berkata, orang Melayu perlu berpandangan terbuka dan tidak berprasangka buruk terhadap kaum lain dan bukan Islam dalam membuat keputusan untuk memilih wakil mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau.

“Kepada orang Melayu yang pandangan terbuka dan mendengar semua.

“Jika mahu Melayu maju, cerdik, mampu bersaing dan tidak takut kepada orang Cina atau India, kita mesti menakluki prasangka perkauman yang cuba ditanamkan Umno dan Pas dan mesti menilai dengan terbuka setiap sesuatu isu itu.

“Jangan percaya bulat-bulat kepada siapa-siapa…kepada saya jangan percaya bulat-bulat, dengan Tun M jangan percaya bulat-bulat dengan Najib lagi lah jangan percaya.

“Kalau semua pengundi Melayu begini, saya yakin buatlah pilihan raya macamanapun, akhirya pemimpin yang dipilih itu tahu bahawa pengundi majoriti Melayu itu adalah pengundi yang peka dan cerdik. Jika kamu buat salah kamu akan dihukum pada PRU akan datang.

“Itu cara yang terbaik untuk memastikan kedudukan, masa depan dan kebajikan orang Melayu lebih baik tanpa kita perlu pijak kawan Cina atau India dan bukan Islam,” ujarnya.

Mengikut pecahan kaum, pengundi Melayu merupakan komposisi pengundi terbesar iaitu 51.75 peratus, diikuti kaum India, 27.53 peratus dan Cina, 18.81 peratus.

Justeru itu beliau menyeru 20,804 pengundi biasa yang akan membuang undi pada Sabtu ini gunakan peluang PRK Rantau sebaik mungkin untuk memilih wakil rakyat mereka.

“Di rantau guna peluang itu yang terbaik…saya yakin apapun keputusannya, kita telah berkempen dengan baik, kita telah jawab isu sebaiknya, kita pulangkan kebijaksanaan itu kepada rakyat.

“Tanggungjawab PH untuk terus bekerja untuk membantu Melayu sama ada menang kalah kita akan teruskan,” ujarnya.

Rafizi turut mengingatkan pembangkang Umno-Pas yang terus memainkan isu kaum dan agama adalah satu kesalahan besar.

“Bagi Pas-Umno jika mereka mahu mainkan isu kaum, Islam sampai bila-bila, salah besar.

“Kita (PH) akan terus jawab.. kamu tenggelamkan institusi Melayu menyebabkan lubang hutang banyak, jadi seberapa banyak pun  kita boleh bongkar supaya jangan bermuka-muka guna nama Melayu,” ujarnya.

PRK Dun Rantau, Sabtu ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah, R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.