Malaysia Dateline

Pastikan gajah tidak bergaduh supaya pelanduk dapat selamat

Minggu lalu Joe Biden dan Kamala Harris selamat ditabalkan sebagai presiden dan naib presiden Amerika Syarikat. Perkataan pertabalan tentulah tidak sesuai digunakan kerana mereka bukanlah raja dan putera mahkota. Amerika adalah sebuah republik. Perkataan yang sesuai adalah pelantikan. Dalam bahasa inggeris disebut inaugural atau permulaan suatu era.

Sistem republik Amerika yang termaktub dalam perlembagaan bertulisnya bermula pada tahun 1776 selepas pemberontakan penduduknya ke atas pihak berkuasa mereka, Britain. Pemberontakan penduduk 13 jajahan atau koloni itu kemudian dinamakan Revolusi Amerika. Mereka menolak pemerintahan Britain dan mahu menubuhkan kerajaan sendiri.

Punca pemberontakan itu ialah kenaikan cukai teh yang dikenakan oleh Britain ke atas 13 wilayah itu. Penduduknya membantah kerana kenaikan cukai itu dilakukan sewenang-wenangnya tanpa perbincangan dengan penduduk. Ini kerana 13 wilayah itu tidak mempunyai wakil dalam Parlimen British. Tiada percukaian tanpa perwakilan, kata penduduk Amerika.

Britain tidak melayan penduduk 13 wilayah sebagai warga negara tetapi menganggap mereka sebagai tanah jajahan walaupun majoriti penduduknya berasal dari situ juga.

Setelah berjaya mengalahkan Britain dalam Perang Kemerdekaan itu, penduduk 13 wilayah itu menubuhkan negara baharu bernama United States of America atau Negeri-negeri Bersatu Amerika. Dalam bahasa Melayu yang digunakan di Indonesia, united diterjemahkan menjadi serikat, iaitu ikatan yang disatukan.

Maka United States of America menjadi Amerika Serikat. Begitu juga, United Nations Organisation dipanggilnya Perserikatan Bangsa-bangsa. Bahasa Melayu di Malaya turut mengambbil istilah serikat dan kini rakyat Malaysia memanggil negara itu Amerika Syarikat. Tetapi bahasa Melayu Malaysia memanggil UNO sebagai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pengasas-pengasas Amerika menubuhkan negara republik demokratik. Maka ketua negaranya dipanggil presiden, dari perkataan preside atau mempengerusikan mesyuarat. Ia dipilih empat tahun sekali dengan seorang hanya boleh menyandang jawatan itu bagi dua penggal.

Maka Amerika menjadi negara pelik ketika mana hampir semua negara di dunia masih diperintah oleh raja. Tetapi sistem republik bukanlah suatu yang asing di dunia. Ahli falsafah Greek, Plato menulis buku bertajuk Republik. Sistem itu pernah dilaksanakan pada waktu-waktu tertentu di Greece dan Rom.

Namun Revolusi Amerika membawa inspirasi pada Revolusi Perancis yang memberi pengaruh besar pada dunia hinggalah kepada Revolusi Rusia pada tahun 1917. Ketika Vietnam berperang melawan Perancis untuk memperoleh kemerdekaannya, ia mengambil Perlembagaan Amerika sebagai contoh.

Sejarah Amerika boleh dibahagi pada tiga. Dari masa penubuhannya hinggalah Perang Saudara yang membebaskan para hamba. Selepas Perang Saudara sehingga Perang Dunia Kedua. Selepas Perang Dunia Kedua sehinggalah sekarang.

Perang Dunia Kedua meletakkan Amerika sebagai kuasa besar dunia yang mempunyai undi veto di Majlis Keselamatan PBB. Dalam tempoh ini, ia boleh dibahagi pada dua zaman. Era Perang Dingin ketika mana Amerika dicabar oleh Soviet Union. Era pasca Perang Dingin ketika mana Amerika merupakan kuasa besar tunggal, iaitu sekarang.

Pengaruh Amerika berperanan dalam mendorong Britain memberikan kemerdekaan pada Malaya. Begitu juga, pengaruh Amerika turut ada dalam sikap Britain menggalakkan usaha penubuhan Malaysia.

Ketika Soviet Union tumbang, presiden Amerika adalah Ronald Reagan dari Parti Republikan. Beliau digantikan dengan George HW Bush yang berdepan dengan cabaran dari Iraq pimpinan Saddam Hussein.

Dengan ketiadaan Soviet, kuasa-kuasa serantau seperti Iraq muncul. Selepas Bush, Bill Clinton dari Parti Demokratik pula menghadapi cabaran dari Serbia sebagai bekas Yugoslavia berkaitan perang di Bosnia. Presiden George W Bush berdepan dengan cabaran terbesar dalam bentuk serangan Al-Qaeda yang membawa Amerika menakluk Iraq dan Afghanistan.

Barack Obama pula berdepan dengan kebangkitan semula Rusia di bawah pimpinan Vladimir Putin. Akhirnya, Donald Trump menghadapi cabaran jangka panjang dari China. Biden yang separti dengan Clinton dan Obama akan mengembalikan Amerika pada landasan normal yang pernah dibawa oleh presiden-presiden terdahulu sebelum Trump.

Tetapi Biden turut mewarisi cabaran-cabaran yang dihadapi sebelum ini, iaitu China, Rusia, Korea Utaea, iran, Syria, Afghanistan, Al-Qaeda, IS dan masalah Israel-Palestin yang terus tidak dapat diselesaikan.

Tumpuan utama Biden adalah untuk mengatasi cabaran Covid-19. Tetapi orang sudah mula bercakap mengenai keadaan Amerika yang sedang menuju kemerosotannya. Mereka melihat bahawa China sebagai kuasa baharu yang akan mencabar Amerika. Malah ada yang menyebut Amerika akan runtuh seperti Soviet.

Tetapi kata-kata begini pernah dihamburkan pada tahun 1960-an, apabila Jepun dengan pesat bangkit dari segi ekonomi mencabar Amerika. Tetapi kini Jepun bukan saja tidak dapat menyaingi Amerika, tetapi dengan China pun ia tidak berupaya untuk berdepan.

Pada waktu ini, China amat berkeyakinan diri untuk muncul sebagai kuasa yang boleh mencabar Amerika. Mereka dengan segera menguasai Laut China Selatan, menduduki kawasan sempadan India dan melebarkan pengaruhnya ke atas Afrika. Amerika kelihatannya tidak mampu menangkis kemaraan China.

Banyak pihak amat kagum dengan kepesatan pembangunan ekonomi China, yang mampu membanteras kemiskinan rakyat negara itu. Malangnya, apabila kaya dan kuat, China kelihatan sebagai pembuli.

Bukan saja ia mengukuhkan kedudukannya di Tibet dan Xinjiang yang merupakan wilayah mereka, dan Beijing sentiasa mengingatkan bahawa Hong Kong dan Taiwan adalah miliknya, tetapi gelagatnya di Laut China Selatan dipandang oleh banyak pihak sebagai suatu kerakusan.

Gelagat China menimbulkan rasa resah pada negara-negara Asia Timur dan Pasifik. Mereka bimbang terhadap kerakusan China. Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Australia adalah sekutu Amerika. Negara-negara ASEAN yang walaupun mempunyai hubungan baik dengan China tetap berasa curiga. Terutamanya Vietnam dan Filipina.

Sempadan-sempadan negara ASEAN digariskan oleh kuasa-kuasa Barat pada zaman kolonial; Britain, Perancis, Sepanyol dan Belanda. Bagi China, sempadan mereka, darat dan laut digariskan oleh dinasti-dinasti dahulu sebelum kuasa Barat sampai.

Mereka menolak kehadiran Amerika di Asia Timur dan Pasifik. China selalu menyebut mengenai tamadun mereka yang beribu tahun. Sedangkan usia Amerika hanyalah ratusan tahun.

Dalam keadaan ini tentulah tentulah negara-negara Asia Pasifik mengkehendaki peranan Amerika bagi mengimbangi kerakusan China.

Ironinya pula, kejayaan China pada masa ini adalah hasil dari sumbangan Amerika seperti mana Jepun dahulu. Bukan Jepun saja, malah Korea Selatan dan Taiwan.

Semasa Perang Dingin, Amerika membantu Korea Selatan supaya lebih maju daripada Korea Utara untuk membuktikan bahawa sistem kapitalis lebih berjaya daripada komunis. Begitu juga dengan bantuan Amerika kepada Jepun dan Taiwan supaya mereka lebih maju daripada China.

Apabilka China berbalah dengan Soviet, maka Amerika dengan segera berbaik dengannya supaya blok komunis bertambah berpecah. Selepas Presiden Rixhard Nixon mengunjungi Mao Zedong, Malaysia menjadi negara pertama ASEAN yang berbaik fengan China.

China memainkan peranan besar dalam globalisasi ekonomi apabila ia membuka sistem ekonominya semasa pemerintahan Deng Xiaoping. Tanpa kerjasama Amerika dan China, dunia tidak akan dapat menikmati teknologi maklumat yang ada pada hari ini.

Kerjasama baik China dan Amerika adalah perlu untuk kemakmuran dunia. Jika tidak, apabila gajah sama gajah bergaduh, pasti pelanduk mati di tengah-tengah.