Pastikan hubungan Malaysia-Saudi tidak untungkan kleptokrat

Pastikan hubungan Malaysia-Saudi tidak untungkan kleptokrat

Kerjasama dalam sektor ekonomi dan perdagangan yang telah dimeterai antara Malaysia dan Arab Saudi sempena lawatan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud diharap tidak sekadar menguntungkan golongan kleptokrat, tegas Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Aiman Athirah Al-Jundi.

Kerjasama dalam sektor ekonomi dan perdagangan yang telah dimeterai antara Malaysia dan Arab Saudi sempena lawatan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud diharap tidak sekadar menguntungkan golongan kleptokrat, tegas Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Aiman Athirah Al-Jundi.

Menurutnya, hasil yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat khususnya dan negara amnya termasuk perjanjian pembelian saham bernilai RM31 bilion antara syarikat pengeluar minyak terbesar dunia, Saudi Aramco dan Petronas merupakan ukuran dan penilaian yang penting.

“Jangan nanti, yang untung bukanlah rakyat dan negara tetapi yang untung adalah kelompok kleptokrasi yang semakin galak menjadikan ekonomi negara ini sebagai empayar bisnes peribadi dan konglomerat kuasanya,” bidasnya.

Beliau berkata, rakyat terus hidup canggung dan cengkung akibat pelbagai dasar dan program kerajaan yang lebih berbau nafas regim pemeras dan penindas.

“Bukankah setiap daripada kita sendiri menjadi saksi betapa kehidupan mereka iaitu konglomerat kuasa bermula daripada MO1 (Malaysian Official 1) sendiri semakin hebat, mewah dan megah.

“Itupun jangan, regim kleptokrasi ini sedang cuba membohongi kita dengan menggunakan sandaran sistem dan dasar-dasar pentadbiran Arab Saudi bagi menjustifikasi dasar-dasar bobrok yang sedang mereka laksanakan atas batang tubuh rakyat dalam negara ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Athirah yang juga Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) berkata, Malaysia dan Arab Saudi secara perbandingan adalah sangat jauh berbeza daripada segala segi khususnya taraf hidup dan keupayaan ekonomi rakyat.

“Adakah kerajaan rejim Umno-BN diterajui MO1 Najib Razak pura-pura lupa, betapa merosotnya nilai mata wang Ringgit negara ini daripada semasa ke semasa?

“Tidak perlu kita melihat Arab Saudi yang nun jauh daripada kita baik daripada sudut geografi dan latar belakang sosio-ekonomi dan politiknya. Bandingkan sahaja dua negara berjiran dan daripada rumpun sejarah asal yang sama, Malaysia – Singapura.

“Di manakah tahap Malaysia ini selepas lebih separuh abad diperintah dan diurustadbir oleh kerajaan rejim Umno-BN?” bidasnya lagi dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat menyedari realiti ekonomi dan situasi semasa negara termasuk dengan kenaikan harga gula mulai 1 Mac dan kemungkinan peningkatan harga petrol dan gas pada bulan-bulan akan datang.

“Rakyat! Tepuk dada, tampar-tampar lembutlah muka. Sedar. Apa yang kita lalui pada hari ini adalah hasil pilihan kita setiap kali PRU-PRU (pilihan raya umum) yang lepas.

“Sama ada kita mahu terus mengulanginya sehingga semakin parah atau sebaliknya mengubah dan mencuba pentadbiran yang baru adalah terpulang di tangan kita.

“Contoh sudah ada. Selangor dan Pulau Pinang, prestasinya jauh lebih baik. Mengapa tidak kita lebarkan prestasi yang baik itu ke seluruh negara sehingga ke Putrajaya?” tambah Athirah lagi.

Kunjungan sulung Raja Salman ke Malaysia selama empat hari mulai 26 Februari lalu adalah atas jemputan Sultan Muhammad V.

Tujuh perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara delegasi Arab Saudi dengan syarikat Malaysia  merangkumi sektor pembinaan, kerjasama dalam segmen halal, aeroangkasa dan perkhidmatan haji berjumlah RM9.74 bilion.

TAGS