Pastikan kerajaan PH mantap, kata Anwar Ibrahim

Pastikan kerajaan PH mantap, kata Anwar Ibrahim

Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menghargai kunjungan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad petang semalam.

Dalam pertemuan itu katanya, beliau telah mengulangi sokongan padu PKR kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir.

Beliau juga telah menyampaikan keresahan pimpinan yang memohon agar kaedah rundingan lebih merangkumi, kata Anwar dalam kenyataannya hari ini.

“Pandangan tersebut disambut baik oleh Tun Dr Mahathir namun ia harus diputuskan bersama oleh Majlis Presiden PH.

“Saya telah juga sampaikan pandangan saya kapada pimpinan PKR untuk mempastikan Kerajaan PH di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri mantap dan kukuh serta dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan cemerlang,” kata beliau lagi.

Anwar turut menggesa rakan-rakan seperjuangan yang telah menerima mandat rakyat untuk segera menjalankan tugas-tugas menyelamatkan dan membina semula negara.

4.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 9.0