Malaysia Dateline

Pastikan kesepaduan PH, gesa pimpinan AMANAH negeri

Kembalikan momentum Pakatan Harapan (PH) dengan mengembalikan semangat aktivis-aktivis tanpa membiarkan mereka ‘on and off’ melancarkan serangan demi serangan antara satu sama lain kerana ia akan melemahkan pakatan yang ada.

PH boleh mengembangkan reformasi, tetapi jangan sampai kesatuan dan kesepaduan PH sendiri menjadi goncang bak kata pepatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran’.

Demikian dizahirkan oleh Pengarah Komunikasi, AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria (gambar).

Jelas beliau lagi, sejarah harus direnungi sebelum PH dimana wujudnya Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU)ke-13 dan sebelumnya juga telah ada de facto Grand Coalition pembangkang dalam PRU ke 12 maupun 2008 dimana PKR, PAS dan Dap menjalinkan persefahanan pilihanraya.

“Ia membawa erti ‘grand coalition’ bukanlah perkara baru dalam politik Malaysia kerana terbukti sebelum ini Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif jua adalah satu ‘grand coalition’.

“Harus diingati persefahaman pilihanraya pembangkang dalam PRU sebelum ini telah berjaya merampas lima buah negeri Semenanjung dan menafikan dua pertiga majoriti BN di Parlimen.

“Hakikatnya mesti disedari bahawa kemenangan besar ‘de facto Grand Coalition’ pembangkang dalam PRU ke-12 menjadi perintis atau membuka jalan kepada pembentukan ‘Grand Coalition’ yang rasmi dan berdaftar dengan ROS serta sekaligus lahirlah PH,” tegas beliau.

Tambahnya, sejak PRU ke-12, kesepakatan pembangkang tersebut terus meningkatkan momentum kemenangan dalam PRU dan seterusnya PR dalam PRU ke-13 dan akhirnya berjaya menjatuhkan BN dalam PRU ke-14.

Sehubungan itu kata beliau, PH wajar menumpukan kesatuan dan kesepaduan gerakan politik berasaskan tapak asalnya iaitu PH serta tidak melupai bedah siasat kekalahan tujuh pilihan raya kecil berturut-turut sejak kebelakangan ini.

Sejajar dengan itu saran Dr Zaidi, PH wajar diperkukuhkan serta diperkuatkan dan menjadi suatu ‘Grand Coalition’ yang berdaftar yang menjadi keutamaan politik PH serta wajar pula parti-parti serpihan PH termasuk Pejuang, Parti Muda, Warisan serta juga PH muhasabah diri dan post mortem secara jujur di mana silapnya pemerintahan 22 bulan PH dan kekalahan berturut-turut dalam PRK sebelum ini.