Malaysia Dateline

Pastikan parti dilihat stabil,berdisiplin dan berpengaruh

Parti Amanah Negara merupakan parti terkecil, jika diukur bilangan ahli Parlimennya, di kalangan komponen Pakatan Harapan.

Ia juga tidak membariskan nama-nama besar, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) dan Lim Kit Siang (DAP).

Usianya baru mencecah empat tahun. Kemunculannya pula tidak begitu diperhatikan, mungkin kerana lahir daripada perpecahan pembangkang (Pas) dan bukannya krisis parti pemerintah.

Ada yang meramalkan AMANAH hanya sempat bertahan enam bulan, atau paling lama dua tahun. Berdepan PRU14 lalu, ia hanya diperuntukkan 27 kerusi Parlimen, lebih kurang separuh daripada rakan-rakannya, Bersatu dan PKR.

Namun parti yang dianggap kecil ini, daripada awal, berperanan besar, untuk memastikan kesinambungan idealisme perjuangan pembangkang dan impian membentuk kerajaan tercapai.

Pakatan Rakyat yang porak-peranda dengan konflik dalaman diberi semangat baru apabila Pakatan Harapan dibentuk. Dan AMANAH menjadi elemen paling penting penubuhannya, menggantikan Pas yang bersikap mesra-Umno ketika itu.

Dengan barisan kepemimpinan yang teruji, dijalin setiakawan utuh, kumpulan pemimpin tersingkir daripada Pas ini mengambil tindakan berani dan cekal.

Sebuah parti Islam yang mengamalkan pendekatan progresif, inklusif dan peduli dilancarkan. Mungkin kerajaan tidak memberikan reaksi yang keras, sepertimana awal penubuhan parti-parti serpihan Umno dulu, tetapi respons Pas tidak kurang pedihnya buat pengasas AMANAH.

Imejnya cuba diperlekeh dan dilumuri pelbagai label negatif, seperti pengkhianat, khadam DAP, Islam liberal dan seumpamanya. Penyokong AMANAH dipulau dan dipandang hina, seolah-olah tidak lagi berpegang dengan prinsip dan nilai Islam. Dalam kes tertentu, mereka dilayan lebih buruk daripada konfrontasi Pas-Umno pada 1980-an dahulu.

Berdepan serangan psikologi itu, pendiri awal AMANAH tidak lemah semangat. Mereka tetap gigih memugar satu suasana baru politik Islam yang lebih sederhana menolak ekstremisme dan fanatisme. Jalinan kerjasama dengan parti-parti pembangkang terbentuk secara jujur dan saling menghormati.

Siri eksperimen bermanfaat dalam Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat diambil iktibar bagi memastikan gabungan oposisi lebih berkesan. Kehadiran Mahathir tidak mengambil masa lama untuk diterima. Malah, berbanding DAP dan PKR yang nampak berbelah bahagi menyambut bekas perdana menteri itu, kepimpinan AMANAH lebih sepakat.

Apabila nama Mahathir diangkat sebagai calon perdana menteri jika regim BN dapat ditumbangkan, AMANAH tidak ada keraguan untuk mendukungnya. Presidennya, Mohamad Sabu semasa jelajah kempen PRU2018 dilihat paling rapat dan akrab dengan Mahathir.

AMANAH juga bijak mengukur baju di badan sendiri. Meskipun dituduh terlalu berlembut atau berkompromi dalam perundingan kerusi pilihan raya, namun sikap itulah yang diakui Mahathir selaku Pengerusi PH, telah menjayakan proses agihan kerusi yang rumit itu. Tanpa sikap “beralah” AMANAH, Pakatan Harapan nampak goyah untuk menghadapi pilihan raya umum, Mei 2018.

Selepas 19 bulan dalam kerajaan dan melepasi empat tahun penubuhannya, AMANAH buat pertama kali melalui proses pemilihan parti di semua peringkat. Memang banyak pengalaman semasa bertanding dalam Pas dahulu, tetapi kali ini situasi ternyata berbeda; kini AMANAH merupakan komponen parti pemerintah yang tentunya menarik minat ramai. Limpahan ahli-ahli baru memerlukan sistem pengurusan serta pentadbiran parti lebih cekap dan kompeten.

Parti yang semakin membesar dengan keanggotaan lebih ramai, meliputi pelbagai sektor, sekali gus mengundang bermacam- macam ragam. Apatah lagi proses pemilihan dalam AMANAH menyaksikan pada setiap peringkat, termasuk negeri, ada pertandingan. Di peringkat awal, khususnya pemilihan kawasan, beberapa kejutan dirakamkan. Ada nama-nama besar dan popular kecundang.

Menanti pemilihan nasional, debaran terasa. Mungkinkah pengasas awal parti turut ditolak termasuk bertaraf menteri ekoran rasa tidak puas hati dengan prestasi kerajaan? Masa sama, kongres parti sekutu bergolak hebat sehingga ada insiden pergaduhan, tuduh-menuduh dan boikot persidangan.

Alhamdulillah, AMANAH tetap menyerlahkan sosok sederhana, sikap terbuka dan kematangannya. Perwakilan menunjukkan mesej mahukan kestabilan, memastikan kesinambungan dan memberi peluang. Tiada nama-nama besar yang tercicir kecuali Setiausaha Agung yang uzur. Muka-muka baru yang terpilih pula telah membuktikan sumbangan cemerlang.

Perlembagaan parti memperuntukkan kaedah pemilihan lima pimpinan tertinggi di kalangan jawatankuasa nasional, ketua-ketua sayap dan semua pengerusi negeri. Maknanya presiden, timbalan dan tiga naib, tidak dipilih oleh perwakilan. Ia disyurakan di kalangan pimpinan sendiri. Kesepakatan dicapai dalam masa singkat, sekitar lima minit sahaja, untuk mengekalkan barisan kepimpinan lama.

Saya tertarik dengan laporan Sinar Harian yang merumuskan dengan baik perjalanan konvensyen nasional AMANAH itu.

Menurut seorang penganalisis, topik perbincangan dibangkitkan perwakilan sepanjang konvensyen dilihat lebih terbuka dan demokratik berbanding parti-parti lain di negara ini.

“Kita lihat perwakilan ada keberanian mengkritik sesiapa sahaja dan lebih menarik tiada amaran dikemukakan Speaker parti terhadap mereka. Para kepimpinan AMANAH juga kelihatan berlapang dada memberikan reaksi dan ini satu anjakan paradigma positif,” katanya.

Bagi ketua penyelidik sebuah badan bebas pula, keputusan mengekalkan kestabilan dalam AMANAH, khususnya menghadapi tempoh transisi kerajaan PH yang genting sekarang ini adalah tindakan bagus dan tepat.

“Keputusan itu membolehkan AMANAH kekal fokus kepada agenda mengisi kemenangan PH, berbanding terpaksa menghabiskan masa dan tumpuan menghadapi polemik apabila kerusi kepimpinan tertinggi ditukar.

“Pemilihan Mohamad sebagai Presiden dan Salahuddin Ayub sebagai Timbalan Presiden adalah mengikut perlembagaan parti dan tatacara pemilihan kepimpinan mereka, tiada isu dalam kes ini,” katanya.

Menurut penyelidik itu lagi, setiap perwakilan parti dilihat menggunakan medium perbahasan bagi memberi refleksi kepada prestasi parti mereka sendiri.

“Mereka tidak lagi membuat serangan kepada parti-parti lawan seperti yang sering dilakukan parti-parti lain.

“Begitu juga kepimpinan parti, ucapan penggulungan dan penangguhan mereka segar dan matang dalam kerangka memperkukuhkan parti dan tidak lagi menyindir parti lawan. Ini budaya matang yang mungkin pelik di mata rakyat negara ini, tetapi sangat berkesan dalam menyentuh pengundi-pengundi atas pagar,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Meskipun tiada lagi serangan atau kritikan keras terhadap saingan terdekatnya, Pas, Presiden Mohamad Sabu dan naibnya, Mahfuz Omar mengingatkan perwakilan agar tidak memutuskan hubungan dengan sahabat-sahabat lama dalam parti Islam itu. Mat Sabu menunjukkan teladan dengan menziarahi pemimpin-pemimpin Pas, khususnya yang uzur.

Ramai pemerhati melihat AMANAH sebagai parti paling stabil dan berdisiplin. Ia satu penghargaan dan penghormatan besar, sekali gus cabaran untuk menjadi pengikat atau pendamai dalam PH.

Di kala kerajaan PH berdepan pelbagai rintangan sukar melakukan pembaharuan dan memenuhi janji manifesto, menteri-menteri AMANAH termasuk seorang ketua menteri, dituntut mempamerkan prestasi dan komitmen tinggi melaksanakan tanggungjawab.

Kritikan langsung terhadap pegawai lantikan politik juga disuarakan perwakilan. Teguran terbuka ini mesti dipandang serius. Kelemahan awal yang dikesan harus segera diatasi. Cakap-cakap negatif yang bermula di kedai kopi itu wajar diberi perhatian. Usah dibiarkan menjadi rungutan meluas. Sebarang unsur salahguna kuasa wajib dibanteras.

AMANAH melalui konvensyen dengan baik dan meriah. Mungkin tiada liputan meluas media susulan tiada insiden kontroversi. Ia bukan satu kekurangan, namun kehadiran parti masa depan ini harus dirasai majoriti rakyat. Rawati kegelisahan dan santuni keperluan mereka.