Malaysia Dateline

Pastikan projek dalam pembinaan selamat, tiada kompromi soal keselamatan

Mengulas mengenai kejadian kondominium 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama yang runtuh dua hari lalu,Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab menyeru semua pihak yang terlibat dalam kerja pembangunan supaya mematuhi undang-undang prosedur dan spesifikasi.

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Negeri Melaka itu berkata, aspek paling penting ialah undang-undang, prosedur dan spesifikasi yang berkaitan dengan keselamatan.

“Kita semua tahu industri bangunan, perumahan seumpamanya adalah industri yang berisiko tinggi di mana kegagalan mematuhi undang-undang, peraturan dan spesifikasi ini bukan sahaja menyebabkan risiko kemalangan semasa dalam pembinaan malah ia juga berisiko selepas bangunan, rumah, jambatan dan sebagainya digunakan pada masa hadapan.

“Ianya bukannya sahaja berkait dengan struktut binaan malah barangan dan bahan yang digunakan juga mestilah mengikut spesifikasi dan ‘requirement’ yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, pihak majikan dan pekerja bertanggungjawab dalam memastikan tempat kerja selamat dan sihat. Keperluan prosedur kerja selamat serta kualiti bahan yang digunakan dalam pembinaan antara faktor yang boleh mengakibatkan kecelakaan.

Tiada kompromi dalam aspek keselamatan ini kerana ianya membabitkan nyawa pekerja dan pengguna. Jangan kita mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan aspek keselamatan, katanya.

“Jangan kita ingin menyiapkan projek dengan cepat dan pantas dengan mengabaikan aspek keselamatan.

“Pihak yang terlibat dengan industri ini juga mestilah memastikan pekerja mereka kompeten. Hanya pekerja yang kompeten sahaja yang mampu membina bangunan, rumah dan lain-lain dengan baik dan berkualiti tinggi.

“Pekerja juga wajib sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan. Kegagalan mematuhi undang-undang dan peraturan ini juga boleh mengakibatkan pekerja itu sendiri akan terdedah kepada kemalangan,” tambahnya.

Mohd Sofi turut menggesa agensi penguatkuasa seperti DOSH, PBT dan sebagainya khususnya di negeri Melaka, supaya sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan terhadap semua projek pembangunan berdasarkan peruntukan, undang-undang dan SOP yang sedia ada.

Ujarnya, jangan ada kecuaian dan kelemahan dari aspek penguatkuasaan ini kerana ianya berkaitan dengan nyawa pekerja, pengguna dan orang awam.

“Kita tidak mahu budaya lama yang sering berlaku di Malaysia di mana setelah kemalangan berlaku barulah semua pihak menuding jari menyalahkan orang lain sedangkan semua pihak terlibat sepatutnya menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan amanah dan berdisiplin. Jangan disebabkan kecuaian kita orang lain yang merana.

“Saya percaya pihak berkuasa seperti DOSH, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan memastikan siasatan serta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didapati cuai dan bersalah dalam insiden tersebut,” katanya.

Berhubung kejadian runtuhan tersebut beliau berkata, ia perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengenal pasti punca kejadian.

Pada 14 Februari lalu, sebahagian struktur kondominium 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama runtuh dan insiden mengakibatkan dua warga Bangladesh dilaporkan terperangkap di tingkat satu selepas lantai tempat letak kereta di tingkat enam runtuh ketika hujan lebat.