Pastikan seluruh maahad tahfiz di Pulau Pinang berdaftar

Pastikan seluruh maahad tahfiz di Pulau Pinang berdaftar

Maahad Tahfiz seluruh Pulau Pinang harus didaftarkan dengan segera demi masa depan institusi pendidikan tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor ketika ditemui.

Jelas beliau lagi, saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sebelum ini supaya institusi tersebut didaftarkan adalah untuk masa depan pelajar dan Maahad Tahfiz tersebut.

Oleh kerana itu katanya, sebelum berakhir tahun ini adalah wajar semua Maahad Tahfiz didaftarkan sepertimana yang dikehendai oleh kerajaan.

“Dengan mendaftar Maahad Tahfiz tersebut pelbagai bentuk bantuan dapat disalurkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Selain itu para pelajar turut mendapat pembelaan terutamanya dari segi korikulum dan silibus pengajian mereka.

“Yang penting ialah masa depan Maahad Tahfiz dan para pelajar yang menjadi generasi harapan masa depan negara, ” tegasnya lagi.

Disamping itu ujarnya, hala tuju dan nasib para pelajar akan terbela setelah ianya sah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

Malah katanya lagi, apabila Maahad Tahfiz tersebut sah dari segi undang-undang, maka saluran bantuan akan mudah untuk diagihkan.

“Keselamatan para pelajar serta Maahad Tahfiz itu sendiri harus menjadi keutamaan.

“Manakala peluang bagi mereka meneruskan pelajaran selepas tamat pengajian menjadi perkiraan.

“Sehubungan itu semua Maahad Tahfiz yang ada di Pulau Pinang mesti segera mendaftarkan institusi tersebut demi masa depan pelajar dan organisasi tersebut, ” tambahnya lagi.

Walau bagaimana pun katanya, beberapa saranan baru-baru ini agar kerajaan negeri menambahkan lagi peruntukan kepada Maahad Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Pondok, Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) serta Tadika Islam mestilah diberi perhatian serius.

Baru-baru ini Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Zulkiply Ishak, menggesa supaya kerajaan negeri meningkatkan lagi peruntukan sebanyak RM1.75 juta yang telah diberikan sebelum ini dalam bajet 2019 yang akan datang setelah jumlah yang disalurkan tidak mencukupi bagi menampung pertambahan institusi pendidikan Islam ketika ini.