Malaysia Dateline

Kita perlu selamatkan, bukan rangsang ekonomi ketika hadapi Covid-19, gesa Kit Siang

Perdana Menteri (PM) tidak lagi perlu bercakap soal rangsangan ekonomi ketika negara diancam wabak Covid-19 tetapi soal selamatkan ekonomi, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Antaranya adalah memastikan setiap rakyat mempunyai cukup wang untuk membeli keperluan asas khasnya makanan.

“Kita tidak boleh lagi bercakap mengenai rangsangan ekonomi, tetapi kita memerlukan penyelamatan ekonomi. Apa yang kita perlukan bukanlah pakej rangsangan ekonomi, tetapi pakej penyelamatan ekonomi,” katanya.

Perkara itu disuarakan  Kit Siang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Perdana Menteri kelapan itu bukan sahaja perlu memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi, malah faktor kewangan rakyat juga perlu diambil kira.

Dalam siaran langsung semalam, Kit Siang berkata, beliau melihat Muhyiddin membuat pengumuman awal mengenai pelanjutan itu supaya persediaan awal boleh dibuat.

“Beliau (Muhyiddin) juga menggesa rakyat supaya bertenang dan memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara mencukupi untuk semua orang.

“Perkara ini tidak cukup. Sebagai PM, Muhyiddin bukan sahaja perlu memastikan bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi semasa bencana Covid-19, tetapi juga memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makan dan keperluan asas tersebut.

“Setakat hari ini juga, selepas empat minggu bermulanya gelombang kedua wabak Covid-19 di Malaysia dan 25 hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai PM kelapan, Muhyiddin tidak memberikan keyakinan terhadap kebolehan beliau untuk memimpin negara ini keluar daripada bencana ekonomi yang berpunca daripada wabak ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri menambah, pakej rangsangan ekonomi komprehensif Muhyiddin yang akan diumumkan esok akan menjadi ujian kepada janji beliau dalam siaran langsungnya semalam.

“Bahawa ‘tidak ada yang akan ditinggalkan’ dalam bencana terhadap nyawa dan kehidupan ini, dan rakyat Malaysia, terutama golongan yang miskin dan berpendapatan rendah, akan mempunyai wang untuk mengatasi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak Covid-19 ini.

“Dirumuskan dalam tajuk e-buku terbaru dari Centre for Economic Policy Research (CEPR), ‘Mitigating the Covid Economic Crisis: Act Fast and Do Whatever it Takes’, pakar ekonomi terkemuka dunia menggesa supaya kerajaan untuk menggunakan ‘senjata berat’ fiskal untuk satu tindak balas ekonomi ‘tanpa had’ terhadap krisis Covid-19, dan menggesa kerajaan untuk bertindak dengan pantas dan melakukan apa sahaja untuk menjaga kelangsungan hidup rakyat.

“Ini adalah masa untuk dasar yang tidak konvensional seperti ‘wang helikopter’, di mana semua rakyat mendapat wang bantuan tanpa syarat dan bank pelaburan negara menyediakan pinjaman kecemasan tanpa had kepada perniagaan.

“Adakah pakej penyelamatan ekonomi Muhyiddin yang akan diumumkan esok akan mempunyai unsur ‘wang helikopter’ untuk mengurangkan kebankrapan peribadi dan korporat serta memastikan rakyat mempunyai wang untuk mengekalkan perbelanjaan walaupun mereka tidak boleh bekerja, dan meningkatkan pelaburan awam dan perbelanjaan penjagaan kesihatan?,” soalnya.