Malaysia Dateline

Pastikan sidang Parlimen hibrid beri MP ruang cukup

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memastikan sidang Parlimen secara hibrid kelak dapat memberi ruang dan masa perbahasan yang cukup kepada ahli Parlimen bagi membangkitkan pertanyaan penting kepada menteri.

Penyelaras penyelidik REFSA, Fakhrurrazi Rashid berkata, jika Parlimen hibrid tersebut hanya ‘kosmetik’ dan mahu memenuhi kepentingan kerajaan semata-mata, matlamat untuk mencari penyelesaian mengakhiri beban rakyat tentunya tidak akan dicapai.

“Terdapat juga beberapa cabaran yang bakal dihadapi ketika melaksanakan Parlimen hibrid. Parlimen hibrid akan menghadkan ruang dan masa penyertaan buat ahli Parlimen, khususnya ketika perbahasan berkaitaan pindaan Rang Undang-Undang (RUU).

“Institute of Government (sebuah badan pemikir di Britain) yang memerhati pelaksanaan Parlimen hibrid di House of Commons Britain mendapati ahli Parlimen tidak mempunyai waktu perbahasan yang cukup dan berkualiti, khususnya perbahasan atas talian, kerana gangguan teknikal yang berlaku begitu kerap.

“Masalah ini menyebabkan beberapa prosedur Parlimen, seperti memutuskan undian dalam sesuatu isu ditangguhkan oleh Speaker kerana ia mengambil masa yang lama untuk mengumpulkan keputusan secara fizikal dan maya,” katanya.

Pada 4 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau berkata, langkah sedemikian diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat.

Fakhrurrazi berkata, meskipun perkara itu telah dibawa ke Kabinet, adalah lebih baik kajian tersebut turut melibatkan ahli Parlimen dalam pengurusan Parlimen hibrid.

Beliau memberitahu, Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu terlibat dalam perbincangan mengenai persediaan Parlimen hibrid, khususnya isu-isu teknikal dan perubahan peraturan mesyuarat Parlimen.

Menurutnya, ini bersesuaian dengan peranan kedua-dua jawatankuasa yang mengendalikan perjalanan Parlimen.

“Pendekatan ini dapat meningkatkan kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan Parlimen bagi mencapai persefaahaman dalam usaha melaksanakan Parlimen hibrid.

“Selain itu, penting juga kerajaan membenarkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berfungsi semula secara atas talian.

“Perkara ini penting untuk memastikan peranan semak dan imbang terhadap tadbir urus kerajaan berfungsi meskipun negara dalam darurat atau pandemik,” kata Fakhrurrazi lagi.