Malaysia Dateline

Pastikan tambang tiket kapal terbang tidak halang pengundi pulang

Setiausaha Agung AMANAH Nasional, Dr Mohd Hatta Ramli berharap prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak memudahkan semua pihak berkempen dan tidak akan menyekat pengundi untuk pulang ke kampung.

Beliau berkata, dalam hasrat kerajaan untuk melaksanakan proses demokrasi yang telus dan terbuka, perjalanan pengundi perlu dipermudahkan tanpa ada halangan apa-apa.

Ini termasuklah tambang kapal terbang yang dikatakan semakin melonjak selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mengumumkan tarikh pengundian di Sarawak.

“Kita sudah mendengar bunyi-bunyi bahawa tambang kapal terbang jadi begitu tinggi yang mungkin jadi penghalang kepada kita untuk bergerak antara wilayah Semenanjung dan juga Sarawak,” katanya dalam Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan petang tadi.

Pada masa sama, beliau juga mengakui tidak memahami motif syarikat-syarikat penerbangan menaikkan kadar tambang kapal terbang seperti aduan beberapa pihak ketika ini.

Menurutnya, ini adalah masa untuk syarikat-syarikat penerbangan menerima penumpang lebih tinggi tetapi perlu meletakkan harga yang munasabah.

“Tapi kalau (harga) tinggi, mereka juga akan kerugian.
Saya rasa adalah penting untuk masa depan syarikat penerbangan ini. Kalau mereka menunjukkan sikap sebegini, mereka jugalah yang akan terima padahnya.

“Jangan gunakan sesi PRN ini untuk memihak pada mana-mana sehingga menjejaskan urusan perjalanan,” ujarnya lagi.