Pastikan tiada langsung hubungan dengan Israel, kata Khalid Samad

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut kerajaan konsisten memastikan tidak berlaku sebarang hubungan dengan Israel termasuk dalam bidang perdagangan yang lebih berkesan bagi memberikan tekanan kepada negara haram itu, tegas Pengarah Komunikasi, Khalid Abd Samad.

“Ini termasuk persoalan penjualan minyak kelapa sawit kepada Israel atau membeli barangan dagangan Israel sama ada secara terus atau melalui pihak ketiga. Tiada makna menyekat atlet Israel sekiranya Malaysia merupakan rakan dagang yang antara terbesar dengan Israel,” ujarnya.

Mengulas sekatan kemasukan ke atas atlet peserta luncur angin dari Israel, beliau berkata, Amanah menyambut baik tindakan kerajaan itu kerana menzahirkan sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus dizalimi oleh kerajaan haram Israel.

Sehubungan itu, ujarnya, Amanah menolak kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang menyelar tindakan sekatan tersebut atas alasan kononnya sentimen politik dan peribadi mesti dipisahkan daripada acara sukan.

“Sikap memisahkan apa jua aktiviti dari persoalan tanggungjawab membantah kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia secara terang dan nyata seperti yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Semangat menentang kezaliman mesti disuburkan dalam kalangan rakyat dan apa jua bentuk pengiktirafan terhadap sebuah negara seperti Israel wajib ditolak, termasuk pengiktirafan dalam bidang sukan,” kata Ahli Parlimen Shah Alam tersebut.

Sehubungan itu, Amanah berharap DAP di semua peringkat sebagai  rakan gabungan Pakatan Harapan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan terutama berkaitan dengan Israel.

“Perasaan marah dan benci terhadap Israel yang sememangnya berasas telah tersemat di dalam jiwa rakyat Malaysia, khususnya orang Islam, dan apa jua kenyataan yang menggambarkan sebaliknya akan pasti dilihat janggal dan ditolak,” ujar bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu lagi.

TAGS