Malaysia Dateline

Pastikan wanita dan orang muda berada dalam kepimpinan PH, kata Haniza

Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar meletakkan golongan wanita dan orang muda dalam barisan kepimpinan dan pentadbiran sekiranya PH berjaya mengantikan pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ketua Wanita PH Selangor Haniza Talha yang mewakili suara Wanita PH dalam konvensyen hari ini berkata, kegagalan Dasar Wanita Malaysia (DWM) oleh BN seharusnya diambil alih Wanita PH melalui Agenda Wanita Malaysia (AWM) yang diumumkan oleh Wanita PH itu sebagaimana dimeterai dalam pelancaran Konvensyen Wanita PH semalam.

“Semalam sayap wanita PH telah melancarkan pelancaran satu agenda yang akan mengangkat martabat wanita.

“Di dalamnya terkandung tujuh fokus demi mengangkat martabat wanita. Kenapa perlu Agenda Wanita Malaysia biarpun sudah ada Dasar Wanita Malaysia?

“Kita sabar menunnggu pelaksanaan Dasar Wanita Malaysia. Tapi apa yang mengecewakan pihak BN hanya pandai buat atas kertas tetapi pelaksanaan dan penghayatan tidak kelihatan.

“Itu sebab wanita PH mesti mengambil alih tempat tersebut. Kita mesti berperanan mengangkat martabat wanita dengan laksanakan Agenda Wanita Malaysia. Ini kerana kita datang dari rakyat tahu pahit getirnya betapa sukar hidup dengan himpitan ekonomi dan masalah sosial yang dihadapi,” ujarnya dalam ucapan perwakilan Wanita PH hari ini.

Haniza turut berkata, negara perlu guna potensi wanita kerana mereka 55% daripada jumlah penduduk Malaysia agar tidak dipinggirkan.

“Saya mohon pimpinan dengar suara wanita kerana mereka sudah bersabar begitu lama.

“Saya harap pimpinan PH hari ini adalah pimpinan pakatan berbeza daripada mana-mana pimpinan parti politik yang lain sebelum ini.

“Oleh itu kita letakkan Agenda Wanita Malaysia salah satu tuju tumpuan yang penting bagi menjayakan agenda ini di bawah tajuk pengdemokrasian politik dan impian- ada satu point penting yang kita perlu ambil perhatian.

“Kita mahu dikuatkuasakan tindakan informatif sekurangnya 30 peratus penglibatan dan penyertaan wanita dalam setiap peringkat pembuat keputusan jawatan lantikan struktur politik mahupun pentadbiran.

“Sayap wanita menyatakan dengan jelas hasrat kami sama-sama menjadi rakan kongsi dalam membangunkan parti gabungan ini. Beri kami peluang tersebut kerana kami ada kemampuan dan kebolehan.

“Jangan hanya suruh kami buat kerja, wanita memang rajin, kami sentiasa buat kerja tetapi beri kami juga peluang mewakili suara wanita,” ujarnya.

Beliau turut percaya dan yakin PH akan terus mara ke hadapan dengan gabungan kekuatan sayap wanita mengangkat agenda rakyat di bawah PH.

Hari ini seramai 1,000 perwakilan hadir dalam Konvensyen PH kali kedua diadakan ini.