Malaysia Dateline

Pasukan Bukit Aman, IPK Selangor buru dalang rusuhan kuil, kata KPN

Polis Bukit Aman dan Kontinjen Selangor akan bekerjasama memburu dalang dalam kejadian kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights yang tercetus awal pagi Isnin lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata untuk tujuan itu, satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kekecohan dan memburu beberapa lagi dalang dalam kejadian itu termasuk mereka yang mencederakan anggota polis dan bomba.

“Kita akan tubuh Task Force untuk bantu IPK Selangor dan untuk buru berberapa lagi suspek.

“Setakat hari ini masih 21 orang ditahan untuk siasatan…siapa mereka ini pun kita masih siasat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku Pembuktian, Pendakwaan dan buku panduan siasatan jenayah melibatkan agen kimia, biologikal radiologikal nuklear serta letupan, hari ini.

Menyentuh dakwaan anggota polis terlibat dalam kekecohan itu seperi yang ditularkan, Mohamad Fuzi menafikannya dan berkata siasatan mendapati individu terbabit hanya seorang sukarelawan polis (PVR) dan telah lama ditamatkan perkhidmatan.

Dalam pada itu katanya keadaan di kuil Sri Maha Mariamman kini terkawal sejak semalam tanpa sebarang insiden kekecohan.

“Ada usaha individu tertentu timbul kekecohan malam tadi namun kita berjaya kawal,” katanya.

Menurutnya polis masih lagi berkawal di kawasan kuil itu.

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, kekecohan berlaku di rumah ibadat itu apabila sekumpulan individu merusuh dan mencederakan pengunjung rumah ibadat itu.

Pada awal pagi Selasa pula, sebuah jentera bomba dirosakkan selain seorang anggota bomba cedera parah dipukul dalam kekecohan berkenaan.

Susulan kejadian itu, sekumpulan perusuh turut merosakkan harta benda di pusat beli-belah One City.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kejadian itu adalah perbuatan jenayah dan tiada kaitan dengan isu perkauman.-BERNAMA.