Malaysia Dateline

Pasukan Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa gagal, mana jihadnya, tanya perwakilan Konvensyen AMANAH

Konvensyen AMANAH di Seremban hari ini diberitahu bahawa pasukan Jihad Tangani Inflasi telah gagal dalam menjalankan tugasnya.

“Nama saja jihad. Mana jihadnya. Semenjak penubuhan Pasukan Jihad Tangani Inflasi ini apa hasilnya?

“Harga barang terus naik, ekonomi pula jatuh merudum,” kata perwakilan dari Melaka, Ahmad Azri Abdulllah.

Pasukan Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menangani kenaikan harga barangan.

Namun, pasukan yang diketuai oleh Menteri Komunikasi Tan Sri Annuar Musa ini gagal dalam menjalankan tugas mereka.

Nilai Ringgit sekitar RM4.00 untuk satu Dollar Amerika ketika pasukan ini ditubuhkan kini sudah mencecah RM4.57 untuk 1 USD.

Oleh itu, bagi perwakilan Melaka itu, kerajaan yang gagal sebenarnya adalah Perikatan Nasional dan kini Barisan Nasional.

“Mereka selalu kata, 22 bulan PH memeringtah, rakyat derita. Ini adalah permainan Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pas yang suka ulang sampai berbih mulut mereka,” kata beliau.

Padahal, katanya, semua orang tahu sekarang, walaupun 22 bulan memerintah negara terbukti Pakatan Harapan berjaya.

Sebelum ini, pemimpin AMANAH menyifatkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi gagal memainkan peranan apabila harga barangan masih mahal.

Pengerusi Biro Pengguna, Pertanian dan Luar Bandar Amanah, Faiz Fadzil berkata, kadar inflasi utama Malaysia naik lagi ke paras 4.4 peratus pada Julai dan meningkat empat bulan berturut-turut.

Ekoran itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mencadangkan pasukan ini dibubarkan sahaja.