Malaysia Dateline

Pasukan kesihatan guna plastik sampah, di mana kelengkapan untuk petugas?

Senator Dewan Negara, Aiman Athirah Al Jundi, hari ini mempersoalkan bila kerajaan mahu mengagihkan bekalan topeng dan penutup muka yang sudah diterima dari Kedutaan China dua hari lalu.

Ia selepas satu video yang tular di Facebook memaparkan pasukan petugas barisan hadapan terpaksa menggunakan plastik sampah sebagai penutup muka oleh kerana kekurangan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE).

Beliau turut mempersoalkan di manakah peralatan tersebut sehingga para petugas kesihatan terpaksa menggunakan inisiatif sendiri bagi melindungi diri mereka.

“Di mana peralatan yang sudah sampai daripada Kedutaan China dan Jack Ma Foundation.

“Bila mahu diagihkan sehingga pasukan barisan hadapan negara terpaksa kreatif dan mengambil inisiatif sebegini?

“Apa jadi kepada bekalan tempatan? Ini hanya boleh dijawab oleh Menteri dan Kerajaan,” katanya dalam satu muatnaik status Facebook hari ini.

Pada 20 Mac, Malaysia menerima sebanyak 100,000 keping topeng muka tiga lapis yang dihantar oleh kerajaan China.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memaklumkan, menerusi hubungan akrab Malaysia-China dan hasil usaha perwakilan Malaysia di sana, negara berjaya mendapatkan 100,000 topeng muka daripada Presiden China-Asia Economic Development Association (CAEDA).

Pada masa sama, Yayasan Jack Ma dan Alibaba mengumumkan akan memberikan bantuan sehingga 2 juta topeng muka kepada Malaysia bagi menangani ancaman wabak Covid-19.

Sumbangan tersebut antara lain termasuklah 150,000 alat penguji, 20,000 sut pelindung dan 20,000 perisai muka untuk diagihkan ke Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Dalam pada itu, Aiman yang juga Ketua AWAN Nasional mengkritik bahawa apa yang dihadapi para petugas sedang melibatkan nyawa yang dalam bahaya.

“Sila berhenti menyibuk semata-mata nak pertahankan menteri-menteri kalian yang lemah. Ini bukan isu politik. Ini isu nyawa rakyat dalam bahaya,” tegasnya.