Pasukan khas ditubuh siasat video seks dikaitkan dengan menteri

Pasukan khas ditubuh siasat video seks dikaitkan dengan menteri

Pasukan khas ditubuh bagi menjalankan siasatan berhubung video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata pasukan khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes itu.

Katanya, pasukan itu dianggotai oleh JSJ Bukit Aman, Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kami (polis) perlu percepatkan siasatan dan banyak pihak telah beri komen untuk polis jalankan siasatan secara menyeluruh.

“Semua siasatan polis ada cabaran tertentu terutama melibatkan kes video digital, sebab itu kami bekerjasama dengan SKMM,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Bukit Aman di sini, hari ini.

Ditanya bila menteri yang dikaitkan itu akan diambil keterangan, Mazlan berkata polis akan mengambil keterangan menteri berkenaan dalam masa terdekat.

“Saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut berhubung siasatan kes ini kerana dikhuatiri menganggu siasatan,” katanya.

Mengulas perkembangan siasatan kes itu, Mazlan berkata sebanyak 17 laporan dan 21 keterangan telah diambil sejak seminggu yang lepas.

“Mengenai ketulenan video itu, polis masih menunggu laporan forensik ,” katanya.

Selain itu, beliau berkata tiada sekatan ke luar negara dikenakan kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam video lucah itu.

“Dia (Haziq) telah beri kerjasama dan kami akan siasat dari semua sudut,” katanya dan memberitahu bahawa polis tidak bercadang menggunakan khidmat pihak luar dalam siasatan kes itu.

Jumaat lepas, Haziq Abdullah ditahan bagi membantu siasatan kes itu dan dia dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.- BERNAMA