Pasukan petugas khas akan ditubuhkan jika ada bukti kehilangan paksa dilakukan SB

Pasukan petugas khas akan ditubuhkan jika ada bukti kehilangan paksa dilakukan SB
Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinsn Tertinggi Bersatu, di Yayasan Selangor, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan jika terdapat bukti kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan Aktivis Perlis, Amri Che Mat dilakukan Cawangan Khas, (SB) Bukit Aman.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta Suhakam mengemukakan bukti, sekiranya mempunyai maklumat mengenai kejadian penculikan itu.

Beliau menganggap dakwaan Suhakam sebagai khabar angin jika tiada bukti diperolehi pihaknya.

“Harus diingat, kejadian itu berlaku pada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu, dan bukannya berlaku ketika di bawah pentadbiran saya.

“Ketika kejadian berlaku, Tan Sri Fuzi Harun adalah Pegawai di Cawangan Khas dan beliau juga akan bersara nanti.

“Kita biarkan dia bersara dan Ketua Polis Negara yang seterusnya akan mengetuai siasatan itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya wartawan susulan pendedahan Suhakam hari ini, mengatakan penculikan dua individu terbabit dilakukan ejen yang dikenalpasti daripada Cawangan Khas, Bukit Aman.

Baca: Suhakam

Suhakam dalam sidang media hari ini mendakwa penculikan Paderi Raymond Koh dan aktivis Perlis, Amri Che Mat lebih dua tahun yang lepas dilakukan oleh ejen yang dikenalpasti sebagai Pegawai Khas Cawangan Bukit Aman.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata, Paderi Koh dan Amri ialah mangsa penculikan secara paksaan (Enforced Disappearance) seperti yang dijelaskan dalam International Convention for Protection of all Persons from Enforced Disappearances (ICPPED)

Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Sementara itu, Amri, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, pula hilang sejak 24 November 2016.