Malaysia Dateline

Pasukan petugas khas dapatkan semula aset RM20.74 bilion di luar negara

Sebuah pasukan petugas khas akan dibentuk bagi mendapatkan semula aset bernilai kira-kira RM20.74 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC International) di luar negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, berkata pasukan itu akan diketuai Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.

“Kami dalam proses mewujudkan pasukan petugas khas ini dan ia akan diumumkan oleh GIACC kelak. GIACC memiliki pasukan yang bagus.

“Pasukan ini akan melihat dengan teliti di mana aset terbabit berada,” katanya kepada pemberita, hari in seperti dipetik Sinarharianonlinei.

Azam berkata, pihaknya enggan mendedahkan lokasi aset itu berada tetapi ia berkaitan 1MDB dan sebahagiannya membabitkan SRC International, di beberapa negara.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pelbagai pihak, terutama yang membabitkan undang-undang di luar negara.

“Kita perlu berbincang dengan banyak negara. Kita tidak boleh menggunakan undang-undang negara ini untuk mendapatkan semula aset berkenaan. Sesetengah negara ada proses undang-undang sendiri yang perlu kita patuhi.

“Dalam mendapatkan semula aset berkenaan, ia tidak semestinya membabitkan suspek,” katanya.