Patriot anjur Forum Aspirasi Rakyat, 6 Mei 2018

Patriot anjur Forum Aspirasi Rakyat, 6 Mei 2018

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) akan menganjurkan forum umum yang berjudul Forum Aspirasi Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa The Mines pada 6 Mei 2018.

Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan-Persatuan, Kumpulan-Kumpulan dan semua rakyat Malaysia yang patriotik dijemput untuk mengambil bahagian dan setiap kumpulan akan diperuntukkan 5 minit untuk bercucap di atas pentas, bagi menyampaikan aspirasi untuk kumpulan dan juga negara.

Demikian diumumkan oleh Presiden Patriot, BG Datuk Mohamed Arshad Raji (B) dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, semua pemimpin tertinggi gabungan parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin dari setiap parti politik dari kedua-dua belah jurang politik akan dijemput ke forum sebagai penonton.

Mohamed Arshad Raji

Ini memberi peluang kepada NGO-NGO dan kumpulan-kumpulan untuk berkomunikasi dengan ahli politik. Bagi ahli-ahli politik pula, ia memberi mereka peluang untuk lebih memahami keperluan rakyat dan bergaul dengan mereka, katanya.

“Individu: Ini adalah undangan terbuka dan kami mengalu-alukan semua untuk hadir, tanpa menghiraukan afiliasi parti ataupun kumpulan. Jika masa mengizinkan, individu akan dibenarkan untuk berucap selama seminit.

“Etika: Pembicara hendaklah menggunakan bahasa yang sopan dan beradap. Tidak mengejek dan tidak menggunakan bahasa yang menghina, dan kempen politik tidak dibenarkan. Pembicara hanya menyatakan aspirasi untuk kumpulan dan negara.

“Pernyataan Rasmi (Communique): Pada akhir forum, satu pernyataan rasmi akan dikeluarkan kepada media dan orang ramai.
“Ringkasan daripada perkara-perkara yang disampaikan oleh NGO/Kumpulan akan dikompilasi dan diserahkan kepada gabungan parti-parti politik yang akan membentuk kerajaan yang akan datang,” jelas Mohamed Arshad.

Bagi mereka yang ingin mnyertai forum berkenaan, tambah beliau, sila hubungi: Lt Col Prof Ahmad Ghazali (019-3847965); Lt Col Ajaya Kumar (019-2385603); JD Lovrencier (017-2399049); Kapten Dr Wong Ang Peng (013-3399898).

Ujarnya, Patriot ingin menjadikan diri kami berguna semasa pengundian awal pada 5 Mei, dan telah menawarkan ahli-ahli kami sebagai ejen tempat mengundi.

Di samping itu katanya, pihaknya juga akan membantu memantau agar pengundian awal dilaksanakan dengan betul dan lancar.

“Patriot menggesa semua anggota pasukan keselamatan, dari tentera dan polis, untuk menjalankan pengundian anda tanpa rasa takut atau gentar.

“Undi anda adalah rahsia. Ia adalah hak anda seperti termaktub di dalam perlembagaan. Peraturan pengundian dan proses mengeluarkan slip pengundian kepada setiap pengundi menjadikannya mustahil untuk undian anda dikesan.

“Tiada sesiapa yang boleh mengundi bagi pihak anda. Sesiapa sahaja yang mengundi bagi pihak anda telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” tambahnya.

Kata beliau lagi, Patriot berdiri bersama-sama dengan masyarakat sivil dan ingin melihat keamanan dan ketenteraman semasa pilihan raya, menghampiri hari mengundi, pada hari mengundi itu sendiri, dan hari-hari berikutnya.

“Kami yakin polis dan angkatan tentera akan bersikap profesional dalam melaksanakan tugas mereka dan tidak memihak, untuk terus berkhidmat kepada raja dan negara.

“Patriot ingin memberi amaran kepada mana-mana elemen yang tidak diingini daripada menimbulkan kekacauan sebelum hari mengundi, pada hari mengundi, dan selepas pilihan raya,” katanya.

CATEGORIES