Malaysia Dateline

Mohd Arshad Raji

Patriot beri amaran tidak politikkan LTAT

Persatuan Patriot Kebangsaan meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) susulan pemberian dividen rendah yang diumumkan sebanyak 2 peratus.

Presidennya, Mohamed Arshad Raji berkata demikian yang merujuk kepada kritikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein berhubung kenyataan mereka baru-baru ini mengenai dividen tersebut.

Katanya, Kementerian Pertahanan dikritik selepas mengumumkan bahawa LTAT mempunyai keuntungan bersih sebanyak RM221 juta untuk tahun kewangan 2018, iaitu penurunan sebanyak 51.9 peratus daripada 2017

“Najib dan Hishamuddin telah mengkritik kerajaan semasa disebabkan prestasi buruk LTAT yang sebenarnya masalah itu adalah berpunca daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, kenyataan Hishamuddin yang mendakwa Boustead terpaksa menjual Hotel Bintang Royale Chulan kepada syarikat Singapura di bawah harga pasaran adalah tidak benar kerana LTAT masih belum membuat keputusan akhir mengenai penjualan hotel tersebut.

Beliau turut mengemukakan bukti melalui laporan Juruaudit LTAT, Ernnst & Young, antara tempoh 31 Dis 2017 dan 31 Dis, 2018 yang mendapati ‘urus niaga yang lalu mengandungi potensi ketidakteraturan dan kelemahan dalam bidang operasi, perakaunan dan undang-undang’

“Terdapat tujuh penemuan penting mengenai penyelewengan dan kelemahan kewangan. Daripada jumlah tersebut, dua adalah kecuaian yang serius dan terbabit dengan ketidakcekapan mereka yang sebelum ini diurus Najib dan Hishamuddin.

“Pulangan aset lima tahun lebih rendah daripada kadar dividen yang diisytiharkan juga menyebabkan LTAT membayar dividen pada kadar yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya.

Beliau juga mendakwa jumlah aset LTAT bagi 2015 hingga 2017 yang dinyatakan lebih daripada jumlah sebenarnya.

“Ini disebabkan kegagalan pelaburan yang mengakibatkan aset LTAT dinyatakan lebih daripada jumlah sebenar. Penelitian tidak dilakukan sebelum melabur dalam syarikat itu,” katanya.

Arshad turut mendesak supaya semua penyelewengan yang ditemui oleh juruaudit diketahui secara terbuka supaya pendeposit dan pelabur dapat kembali yakin dengan LTAT.

“Sekiranya terdapat penyalahgunaan atau konflik kepentingan dalam pengurusan kewangan oleh mana-mana ahli lembaga sebelumnya, maka dakwaa yang sewajarnya perlu dikenakan kepada pesalah,” katanya