Malaysia Dateline

Patriot dakwa media salah lapor perlantikan jawatan dalam ATM

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa portal berita Air Times News untuk memperbetulkan tajuk laporannya pada 27 Oktober, selepas didakwa cuba mengelirukan orang ramai dengan mengaitkan pelantikan jawatan dalam rejimen Askar dengan Pakatan Harapan.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, laporan bertajuk ‘Pengarah Perisikan lantikan khas Pakatan Harapan didakwa pecah amanah’, mengelirukan dan tidak menggambarkan proses sebenar berhubung dengan kenaikan pangkat pegawai kanan tentera.

Menurutnya, laporan terbabit yang menyebut ‘lantikan khas Pakatan Harapan’ mengelirukan orang ramai untuk mempercayai bahawa PH telah melantik pegawai tersebut ke jawatan Pengarah Perisikan Tentera.

“Ini tidak betul,” katanya.

Mohamed Arshad menegaskan, setiap pelantikan dan kenaikan pangkat pegawai kanan, kebiasaannya dikemukakan ketua jabatan masing-masing yang akan mencadangkan calon sesuai untuk mengisi beberapa jawatan.

Malah katanya, jawatan Pengarah Perisikan Tentera juga sama sekali tidak boleh dilantik secara politik.

“Dalam kes Pengarah Perisikan Tentera, untuk pelantikan tri-perkhidmatan, biasanya Ketua Angkatan Pertahanan yang akan mencalonkan calon yang sesuai.

“Secara tradisinya, jawatan itu diberikan kepada pegawai paling kanan Kor Perisikan Angkatan Tentera,” jelasnya lagi.

Terdahulu, portal tersebut melaporkan, seorang pegawai kanan dari Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) yang dipilih secara lantikan khas sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) memerintah selama dua tahun, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkait dengan salahguna kuasa.

Pegawai tersebut bersama dua lagi telah didakwa atas 17 pertuduhan menerima serta meminta rasuah bernilai RM3.5 juta berhubung beberapa projek di Kementerian Pertahanan tahun lalu.

Sementara itu kata Mohamed Arshad, Menteri Pertahanan yang mempengerusikan dewan ketika itu hanya perlu bersetuju dengan calon yang dicadangkan oleh Panglima Angkatan Pertahanan, kerana pelantikan pegawai tidak boleh berkait dengan sebarang unsur politik.

Oleh sebab itu katanya, kenyataan ‘lantikan khas Pakatan Harapan’ adalah mengelirukan.

“Belum pernah ada parti politik atau ahli politik yang memutuskan pelantikan pegawai tentera ke jawatan Pengarah Perisikan Tentera,” katanya lagi.