Malaysia Dateline

Mohd Arshad Raji

Patriot ingatkan parti politik patuhi Rukun Negara menjelang PRU14

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyokong sepenuhnya titah Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, agar mereka yang berkuasa mematuhi Rukun Negara, khususnya prinsip-prinsip keunggulan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Presidennya Brid Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, titah Tuanku adalah tepat pada masanya memandangkan pilihan raya umum semakin dekat seharusnya parti-parti politik turut menyahut seruan  Tuanku Muhriz.

“Rakyat Malaysia mahu melihat pilihan raya yang bebas dan adil.¬† Dalam waktu dan keadaan yang mencabar sekarang, institusi-institusi seperti Suruhan Pilihan Raya, SPRM, Polis Diraja Malaysia termasuk Angkatan Tentera, harus berkhidmat kepada negara dengan penuh kebanggaan dan cara terhormat, mematuhi Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, bukan sahaja berkecuali tetapi mesti dilihat sebagai berkecuali.

“Institusi dan agensi dalam kerajaan, dan kerajaan tempatan, harus terus berkhidmat dengan penuh integriti dan tidak dibenarkan dieksploitasi oleh mana-mana parti politik.

“Sumber kerajaan, seperti tenaga manusia, material, kewangan, dan lain-lain, tidak boleh digunakan untuk kepentingan sesuatu pihak. Patriot menyeru semua penjawat awam, polis dan tentera, supaya memperlihatkan janji setia yang dibuat semasa sumpah jawatan, untuk berkhidmat tanpa takut dan pilih kasih,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas titah Tuanku Muhriz yang menyeru supaya kebebasan institusi di bawah naungan undang-undang, badan kehakiman, agensi-agensi penguatkuasaan, dan suruhanjaya-suruhanjaya dilindungi.

Tuanku seterusnya berkata adalah penting bagi institusi-institusi yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan bebas daripada sebarang campur tangan luar, dan ditadbir urus dengan baik demi memastikan keamanan dan keharmonian.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-70 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada Ahad.

Arshad berkata, Patriot juga menyeru semua parti politik agar menjalankan kempen yang bersih pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Parti-parti politik hendaklah tidak menggunakan bahasa radang yang boleh menimbulkan kebencian di antara kaum, tidak mengkontrakkan ucapan benci-membenci dan hooliganisme kepada kumpulan-kumpulan dan samseng-samseng.

“Negara kita tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang ketaksuban, hooliganisme, ucapan benci-membenci dari mana-mana individu, kumpulan atau parti, yang akan merosakkan keutuhan sosial dan keharmonian negara.

“Dengan ketidaktentuan kestabilan ekonomi dalam masa terdekat, hiperinflasi global yang akan berlaku akibat perbelanjaan hutang (debt spending) bertahun-tahun di hampir semua negara, pai ekonomi yang mengecil, dan pengangguran yang meningkat dengan ketara; rakyat Malaysia hanya mempunyai satu pilihan, iaitu, untuk kekal bersatu.

“Kita memerlukan kepimpinan yang kuat dan mampu untuk menggerak dan memotivasi semua rakyat Malaysia untuk terus bekerja keras dan membangunkan semula negara kita yang tercinta. Kita tidak mempunyai pilihan lain,” ujarnya.