Malaysia Dateline

Patriot mahu jawapan isu land swap Mindef

Kumpulan veteran tentera menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat tiga isu yang antaranya membabitkan kes pertukaran tanah (land swap) Kementerian Pertahanan.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, sejak 2018 lagi Patriot sudah membangkitkan isu ketirisan dalam projek pertukaran tanah Mindef dan mempersoalkan sama ada ianya benar telah diswastakan.

Beliau berkata, pada ketika itu Patriot pernah bertanya apa yang berlaku selama sepuluh tahun sejak Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Razak membuat cadangan pada tahun 2008 untuk menswastakan tanah Mindef.

“Kami juga memanjangkan soalan, adakah tanah lebih dari 40,000 hektar telah diswastakan? Jika demikian, kepada syarikat mana dan siapa pemilik syarikat itu?

“Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, hasil laporan Jawatankuasa Siasatan tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh bekas ketua juruaudit Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan kerugian melebihi RM500 juta di atas 16 projek ‘land swap’ yang melibatkan 1,286 hektar.

“Tidak ada yang diberitahu mengenai baki dua pertiga dari tanah ATM itu. Mengapa Putrajaya tidak membuat pengumuman tentang siasatan oleh jawatankuasa Ambrin Buang? Apa yang mahu disembunyikan?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, tiga isu akan mula disiasat membabitkan tiga kementerian antaranya isu ‘land swap’ Kementerian Pertahanan dari 1995 hingga 2018, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Kementerian Pengangkutan (2012 hingga 2018), serta projek 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan (2011 hingga 2019).

Beliau berkata, PAC memutuskan untuk mengadakan prosiding itu selepas diberikan taklimat oleh Pengerusi JKSTUPKK, Ambrin Buang.

Tahun lalu, bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memberitahu, hasil siasatan ke atas 16 projek ‘land swap’ mendapati kerugian atau ketirisan hasil kerajaan melebihi RM500 juta disebabkan oleh penilaian tanah yang lebih rendah daripada nilai pasaran dan pengurusan kontrak yang lemah.

Sementara itu, Arshad mengingatkan semua pemimpin politik bahawa mereka sedang memegang kepercayaan rakyat untuk melaksanakan amanah yang tidak sewajarnya dikhianati.

“Patriot ingin mengingatkan semua pemimpin politik bahawa mereka memegang kepercayaan rakyat. Mereka tidak boleh mengkhianati kepercayaan itu untuk melakukan jenayah rasuah, sama ada keuntungan untuk diri mereka sendiri, kroni, atau pihak mereka.

“Mereka tidak boleh berkompromi dengan perbuatan yang boleh merosakkan. Tugas mereka juga untuk melaporkan perbuatan yang dilakukan oleh orang lain. Mendiamkan perbuatan itu sama buruknya dengan mereka yang melakukannya,” katanya lagi.