Malaysia Dateline

Patriot mahu Zakir Naik tidak bercakap isu antarabangsa

 

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), tidak mempunyai masalah jika penceramah bebas, Dr Zakir Naik berpegang kepada prinsipnya dalam menyebarkan agama Islam, tetapi penceramah itu tidak boleh menyampaikan hujah perbandingan agama dan menyentuh isu antarabangsa di negara ini.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, rakyat di negara ini telah belajar bahawa membanding-bandingkan sesuatu agama adalah tindakan yang dilarang sama sekali (tabu).

Dr Zakir Naik

Katanya penceramah bebas itu telah dijemput oleh rejim Najib Razak sekitar 2013 dan diberikan status pemastautin tetap sejak itu, Dr Zakir telah berceramah mengenai perbandingan agama yang menyebabkan masyarakat kecewa.

“Patriot juga memerhatikan bahawa Zakir Naik kini, tidak membandingkan agama dalam ucapannya selepas orang ramai mengkritik dan mencadangkan beliau supaya dihantar pulang.

“Malah,kini beliau telah menceroboh politik dan hubungan antarabangsa. Apa yang disebut mengenai orang Hindu di Malaysia dan tuduhan tentang negara China menafikan hak umat Islam Uyghur untuk memaksa mereka meminum alkohol dan menghalang mereka daripada mempelajari al-Quran, tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang ulama.

“Seorang sarjana adalah orang yang sangat berhati-hati dalam berkata-kata dan melihat sesuatu isu itu secara objektif.

“Sebarang isu sensitif terhadap umat Islam Uyghur seeloknya dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri dan bukannya untuk Zakir Naik menghasut orang awam membangkitkan kebencian dan permusuhan terhadap China, terutamanya ketika hubungan Malaysia dengan China kni bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.