Malaysia Dateline

Patriot sambut baik Jawatankuasa Ambrin Buang siasat Kementerian Pertahanan

Kita harap jawatankuasa ini boleh menghentikan amalan korup ini, kata Arshad.

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyambut baik penubuhan Jawatan Siasatan Hal Ehwal Pentadbiran yang diketuai oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Bagi Patriot, Kementerian Pertahanan yang menjadi kementerian pertama siasatan ini mempunyai banyak peluang berlakunya salah laku.

“Kementerian Pertahanan yang mempunyai bajet yang sangat besar memberikan peluang untuk berlakunya rasuah dan berterusan sehingga kini.

“Tambahan lagi dengan kes 40,000 hektar tanah tentera yang didakwa diswastakan,” kata Presidennya, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji.

Patriot mencadangkan agar jawatankuasa ini melihat semua perolehan kelengkapan pertahanan di tiga perkhidamtan utama bermula dari tahun 2000 sehingga kini.

Menurut beliau, pembelian peralatan melibatkan jumlah yang sangat besar sehingga bilion ringgit.

“Dan ada dakwaan rasuah yang melibatkan pegawai kanan tentera dengan kontraktor pembekalan kelengkapan ini.

“Ada juga dakwaan kontrak diberikan kepada syarikat kroni kepada pegawai kanan tentera.

“Adalah menjadi suatu kebiasaan pihak pembekal ini mendaftarkan beberapa syarikat yang dimiliki mereka untuk mendapatkan kontrak yang sama,” katanya.

Patriot juga mencadangkan agar bekas-bekas tentera yang terlibat dengan perolehan kelengkapan ini diajak sama membantu jawatankuasa ini.

Menurut Arshad, rasuah di dalam Kementerian Pertahanan telah berjalan bertahun-tahun dan sesetengahnya menjadi rahsia umum di kalangan pasukan tentera.

“Kita harap jawatankuasa ini boleh menghentikan amalan korup ini,” katanya.