Malaysia Dateline

Patriot selar Najib permainkan agama dengan sumpah laknat

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Datuk Mohammad Arshad Raji, menyelar bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang dianggap mempermainkan agama Islam dengan permintaannya untuk melakukan sumpah laknat.

Katanya, hasrat Najib untuk melakukan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan pernah mengeluarkan arahan membunuh Altantuya Shaariibuu itu, seharusnya dihalang oleh pihak berkuasa yang secara jelas menggunakan nama agama untuk melepaskan diri.

“Sekiranya satu jenayah yang serius seperti pembunuhan boleh diselesaikan dengan sumpah semata-mata, maka mana-mana pelaku kejahatan serius, termasuk penyelewengan dan jenayah kolar putih di pejabat tinggi juga boleh terlepas dengan sumpah.

“Patriot keliru mengapa Mufti dan pihak bertanggungjawab yang berada dalam jabatan agama, tidak menghentikan tindakan Najib ini yang jelas mempermainkan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad turut menyentuh tentang penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB yang secara jelas bahawa Jabatan Kehakiman AS (DOJ) telah mengenal pasti Nombor Rasmi Malaysia.

Jelasnya, Jabatan Kehakiman AS dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) telah menamakan bekas PM Najib Abdul Razak sebagai penerima sogokan dari bon yang dibangkitkan untuk 1MDB.

Selain Najib Razak, katanya, SEC juga menyebut bahawa terdapat pegawai kerajaan dan keluarga mereka di Malaysia yang menerima sogokan lebih daripada US $ 2.7 bilion.

Justeru, dalam hal ini katanya, beliau menyokong usaha Ketua SPRM yang ingin membuka semula beberapa kes berprofil tinggi yang telah dimasukkan ke penyimpanan sejuk termasuk kes 1MDB.

“Rakyat ingin tahu siapa pegawai dan keluarga mereka yang terlibat dalam skim yang paling menjijikkan ini,” tegasnya.

“Dalam hal ini, Patriot menyokong ketua SPRM, Latheefa Koya, dalam hasratnya untuk membuka semula beberapa kes profil tinggi yang telah dimasukkan ke dalam penyimpanan sejuk.

“SPRM mesti menunjukkan bahawa tindakan dan keputusannya adalah bebas daripada Eksekutif. Mesej yang jelas mesti dihantar bahawa kita mempunyai sifar toleransi terhadap rasuah,” ujarnya.