Malaysia Dateline

Patriot sifatkan isu bazar Ramadan DBKL tanda merah buat Pakatan Harapan

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyifatkan isu bazar Ramadan DBKL hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu melibatkan pemimpin Bersatu peringkat bahagian sebagai tanda merah pertama buat kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut presidennya, BG Dato Mohamed Arshad Raji (B), setakat ini dilaporkan bahawa beberapa vendor mengaku telah membayar antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi satu lot menerusi orang tengah sedangkan DBKL hanya mengenakan caj RM6,234.40 bagi 80 lot.

“Skandal tetap skandal walau macam mana remeh sekali pun dan ia mesti disiasat secara terperinci mengikut undang-undang.

“Tindakan mesti diambil terhadap mana-mana pihak terbabit, baharulah PH boleh terus memperolehi keyakinan dan rasa hormat rakyat,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Jelas beliau lagi, Patriot ingi mengingatkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH supaya lebih berhati-hati dalam membuat cadangan bagi mendapatkan lesen, kontrak kerja dan juga projek.

Katanya, begitu juga, kakitangan awam sama ada dalam kerajaan tempatan, agensi kerajaan dan jabatan, tidak perlu takut kepada ahli politik dan akur pada surat cadangan mereka.

“Selagi prosedur kerja diikuti dan keputusan dibuat untuk kebaikan kelompok yang lebih besar, mereka tidak perlu takut,” kata Mohamed Arshad.

Tambah beliau, Patriot berharap tanda merah pertama ini juga merupakan yang terakhir kerana banyak perkara yang perlu dibuat untuk membina semula negara ini.