Malaysia Dateline

Patriot sokong pakar perubatan, saran kerajaan guna Ivermectin rawat Covid-19

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyokong pendapat beberapa pakar perubatan yang menyarankan kerajaan menggunakan ubat ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, memetik kajian yang diterbitkan, para saintis dan pakar perubatan tempatan dan asing secara konsisten mendapati bahawa penggunaan ivermectin sebagai rawatan terhadap Covid-19 sangat meyakinkan.

“Dalam keadaan darurat kesihatan di mana jumlah maut terus meningkat, tidak perlu membazir masa mengulangi percubaan klinikal yang telah lama dibuat.

“Tambahan pula, kajian dan pengalaman penduduk sebenar di beberapa negara menunjukkan bahawa kadar infeksi Covid-19 berkurang secara drastik ketika ivermectin diedarkan secara besar-besaran.

“Negara kita sangat memerlukan ivermectin sekarang. Ia adalah ubat yang sangat selamat dan terbukti berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pengamal perubatan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan Ivermectin dalam keadaan ‘terdesak’ apabila semakin ramai pesakit meninggal dunia akibat Covid-19.

Bagaimanapun kerajaan bertegas untuk tidak menggunakan ubat tersebut memandangkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar untuk kegunaan manusia.

Bahkan dilaporkan, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) membenarkan Ivermectin hanya untuk rawatan Covid-19 bagi tujuan kajian klinikal sahaja.

Sementara itu, Arshad berkata, pakar kesihatan dalam negara semuanya adalah profesor, penyelidik, doktor perubatan, ahli farmasi, dan pengamal kesihatan yang berkelayakan; di mana mereka secara berterusan menyarankan penggunaan ivermectin bersama dengan vaksin sebagai strategi untuk mengatasi wabak ini.