Malaysia Dateline

Patriot tuntut permohonan maaf dari Sinar Harian

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menuntut Sinar Harian memohon maaf secara terbuka atas tuduhan terhadap Patriot dengan dakwaan kumpulan ahli veteran tentera itu mempertikai pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pengarah Komunikasi Awamnya, Dr Wong Ang Peng, berkata akhbar berkenaan sengaja menyiarkan kenyataan palsu dengan cubaan menyebarkan rasa benci kepada Patriot.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan Ketua Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak yang menyelar Patriot sebagai tidak bertanggungjawab apabila mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Halim dalam kenyataan dalam Sinar Harian mengkritik Patriot yang dikatakan dengan sengaja telah menghina Yang di-Pertuan Agong apabila mempertikai pelantikan Muhyiddin.

“Sinar Harian menipu, kenyataan Patriot dimanipulasi untuk menghasut kebencian terhadap kami dan mengkhianati prinsip objektif dalam kewartawanan. Tiada wartawan mahupun editor mereka yang meminta penjelasan dari kami.

“Malah, tidak ada kenyataan kami yang menghasut rakyat untuk mencabar pelantikan Perdana Menteri ke-8 seperti apa yang dikatakan Halim Ishak menerusi laporan Sinar Harian,” katanya dalam satu kenyataan hari in8.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengetahui apa maksud Ketua MCCF berkenaan, namun editor akhbar berkenaan bertanggungjawab terhadap laporan yang salah dan tuduhan palsu itu.

“Kita tidak tahu apa yang dikatakan Halim Ishak. Tetapi editor akhbar itu perlu bertanggungjawab terhadap berita palsu berkenaan. Patriot dengan ini menuntut permintaan maaf secara terbuka daripada editor Sinar Harian,” tegasnya.