Malaysia Dateline

Patriot tuntut SPRM dedahkan apa di belakang kes Tengku Adnan

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan apa sebenarnya perkembangan kes yang memerlukan siasatan lanjut, sehingga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dibebaskan dari tuduhan rasuah.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, menghentikan prosiding di mana kes tersebut sudah pun sampai ke tahap pembelaan, sama sekali tidak dapat diterima.

“Pertama, pihak pendakwaan harus dan mempunyai bukti kukuh sebelum meneruskan pertuduhan.

“Kami menuntut untuk mengetahui apa perkembangan terbaru itu. Kami juga menuntut untuk mengetahui siapa yang memberi arahan untuk menghentikan prosiding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan Tengku Adnan yang dikenali Ku Nan selepas pihak pendakwa raya menarik semula pendakwaan terhadapnya.

Ku Nan pada tahun lalu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Ku Nan).

Sementara itu kata Mohamed Arshad, pihak berkuasa yang menyiasat dan mengadili seperti tidak boleh lagi dipercayai terutama apabila membabitkan kes-kes rasuah ahli politik dalam kerajaan.

Beliau berkata, dengan perintah pembebasan Ku Nan, orang ramai juga tertanya apakah nasib kes mahkamah terhadap lima ahli politik kanan Umno yang lain seperti , Najib Razak, Zahid Hamidi, Isa Samad, Bung Mokhtar dan Azeez Abdul Rahim.

“Patriot memandang serius kes rasuah yang melibatkan pemimpin politik. Menjijikkan apabila ahli politik terpalit dengan tuduhan rasuah yang serius,”katanya lagi.