Patriot,G25 mahu kerajaan tubuh IPCMC pantau kes salah laku polis

Patriot,G25 mahu kerajaan tubuh IPCMC pantau kes salah laku polis
(dari kiri) AMri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.

Persatuan Patriot Kebangsaan dan Kumpulan Bekas Penjawat Awam, G25 menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) berikutan kes penculikan paksaan Paderi Raymond Koh dan Aktivis Amri Che Mat.

Katanya badan bebas tersebut akan mengawasi dengan ketat terhadap fungsi polis dan menjalankan siasatan segera terhadap insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan kuasa polis.

“Sebagai contoh, mana-mana kematian tahanan polis di dalam penjara mesti segera disiasat oleh IPCMC. Mana-mana polis yang menembak suspek juga perlu disiasat untuk menentukan sama ada ia dibenarkan.

“Semua pasukan polis di negara-negara maju mempunyai sistem pemantauan sedemikian untuk meyakinkan orang ramai bahawa tiada penyalahgunaan kuasa yang berlaku.

“Kami menggesa pemimpin Pakatan Harapan untuk serius melaksanakan pembaharuan yang akan meneliti segala bukti dan langkah-langkah imbangan terhadap sebarang salah tadbir yang mungkin dilakukan pihak berkuasa atau gabungan kerajaan pada masa akan datang,” katanya kenyataan bersama itu.

Tambah kenyataan itu, Persatuan tersebut berpuas hati dengan hasil siasatan Suhakam selama tempoh 18 bulan yang telah dipengerusikan Suruhanjaya, Mah Weng Kwai, semalam.

Katanya, keyakinan orang awam terhadap pasukan polis dilihat semakin merusut berikutan kesilapan dan tadbir urus yang teruk semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Walaupun tindakan jenayah yang serius oleh individu perlu ditangani, melindungi integriti keseluruhan pasukan polis supaya berada di kedudukan tertinggi juga penting.

“Walaupun Patriot dan G25 menghargai pengorbanan dan dedikasi pasukan keselamatan menjalankan tugas, mereka juga harus bertanggungjawab atas kegagalan menegakkan keadilan.

“Ini adalah sejajar dengan pembaharuan institusi supaya kerajaan bertanggungjawab terhadap manifesto pilihan raya yang dijanjikan,” katanya.