Malaysia Dateline

Patuh SOP boleh hindar Covid, tapi vaksin lebih mampu selamatkan diri – Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan orang ramai agar segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jika tidak mahu keadaan menjadi lebih parah.

Menurutnya, orang ramai akan lebih selamat jika menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19 kerana amalan penjarakan fizikal nampaknya sukar dipatuhi sepanjang masa.

Baginya, jika tidak sanggup mengamalkan penjarakan fizikal, lebih ramai akan dijangkiti, namun cara penting untuk selamat adalah dengan mendapatkan suntikan vaksin.

“Memang sukar untuk patuh arahan memisah diri dari orang lain sepanjang masa, memakai pelitup muka, dan membasuh tangan. Memang sukar untuk tidak ke pasar dan lain-lain.

“Satu cara yang penting ialah suntikan vaksin. Cuba dapat suntikan secepat mungkin. Kita lebih selamat jika disuntik. Ini sahaja cara menyelamat kita. Prosedur operasi standard (SOP) menolong tetapi vaksin lebih mampu selamatkan kita.

“Ya, memang menekan semua ini. Tetapi jika kita tidak sanggup mengalami kesusahan, keadaan akan jadi lebih teruk dan ramai yang akan dijangkiti dan meninggal dunia,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebooknya hari ini

Mahathir berkata, keadaan kini amat teruk apabila setiap hari sehingga 20,000 individu dijangkiti Covid-19, ada yang tidak mendapat rawatan, tinggal di rumah, kemudian menjadi lebih teruk dan meninggal.

Oleh kerana itu katanya, orang ramai perlu memandang serius wabak ini dan sanggup menerima segala tindakan untuk kurangkan kes baru.