Malaysia Dateline

Patuhi larangan merokok di premis makanan terbuka mulai tengah malam ini

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan hari ini mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi larangan merokok di semua premis makanan terbuka yang berkuat kuasa mulai 12 tengah malam ini.

“Jangan ingat tengah malam penguatkuasa tidak menjalankan tugas, di Perak kita ada 346 penguatkuasa yang menjalankan tugas tidak mengira masa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan penguatkuasaan pendidikan mengenai larangan merokok itu di Medan Selera Dato’ Sagor di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar jangan mengasari penguatkuasa yang menjalankan tugas berhubung penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan terbuka.

“Saya tidak mahu ada sebarang insiden mengasari penguatkuasa Jabatan Kesihatan…dengar cakap mereka. Sekiranya dikompaun ambil sahaja. Jika mahu cabar, cabar dalam mahkamah tapi jangan cabar pegawai penguatkuasa kerana mereka hanya jalankan tugas,” katanya.

Bermula 1 Jan 2020, penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makanan terbuka di bawah Peraturan 11(1)(da) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, akan dilaksanakan sepenuhnya dengan notis perintah hadir ke mahkamah terhadap perokok, akan dikeluarkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye baru-baru ini berkata mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM250, namun boleh dikurangkan ke RM150, jika denda itu dibayar dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan merupakan suatu kesalahan boleh didakwa di mahkamah dan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun, sekiranya sabit kesalahan.– BERNAMA