Patuhi undang-undang penting dalam proses pemulihan negara, kata Mahathir

Patuhi undang-undang penting dalam proses pemulihan negara, kata Mahathir

Semua pihak dalam negara, tidak kira pemerintah atau Raja-raja, perlu mematuhi undang-undang kerana ia penting dalam proses pemulihan pemerintahan negara yang sedang dilaksanakan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika mengingatkan tentang keluhuran undang-undang yang merupakan satu daripada Rukun Negara, beliau berkata ketidakpatuhan terhadap undang-undang boleh menyebabkan huru-hara dan menyukarkan proses pemulihan.

“Setiap satu perbuatan kita perlu mengikut undang-undang dan peraturan. Bagi Perdana Menteri atau Raja, menteri atau pegawai pentadbir atau polis, tentera, segala tindakan perlu mengikut peraturan-peraturan. Jika tidak mengikut peraturan, maka akan berlaku huru-hara dalam negara kita.

“Ini amat penting sekali kerana kita sedang cuba memulihkan kerajaan pemerintah di dalam negara ini. Jika tidak berpandukan kepada undang-undang, maka pemulihan negara tidak akan berlaku,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana  hari ini lapor Bernama..

Dr Mahathir berkata kerajaan memerlukan undang-undang yang luhur dan mulia, serta yang menjunjung keadilan undang-undang yang tidak menekankan atau mengetepikan mana-mana pihak

Menurut Dr Mahathir, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat sesuka hati atau apa sahaja kerana berkuasa walaupun di peringkat Raja mahupun pemerintah.

Katanya bangsa bertamadun menerima undang-undang dan peraturan untuk kelangsungan hidup dan pembangunan bangsa.

“Kita tahu kita adalah satu bangsa bertamadun. Orang yang bertamadun, tidak bergerak tanpa peraturan dan undang-undang. Jika kita tidak iktiraf peraturan atau undang-undang, maka kita tidak boleh mendakwa kita bangsa bertamadun,” katanya.

Dr Mahathir berkata walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi, perkara utama adalah semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang melindungi rakyat, Raja dan pemerintahan.

Katanya hanya undang-undang yang benar-benar melindungi semua pihak perlu diteruskan dan diamalkan.

“Undang-undang perlu adil kepada semua pihak. Kalau kita tahu kadang-kadang ada undang-undang yang menekan atau membuat kepincangan dalam kalangan rakyat, maka ia perlu disemak sama ada adil atau tidak. Kalau tidak adil, maka undang-undang itu perlu dimansuhkan atau diperbetulkan.

“Dalam negara kita, banyak pihak berkuasa. Raja sedikit sebanyak berkuasa. Tetapi kuasa itu terhad mengikut undang-undang negara. Walaupun kerajaan diberi kuasa, kuasa bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya, dan kuasa itu mesti dilaksanakan mengikut undang-undang negara,”katanya lagi.

Menurut Dr Mahathir, pengasingan kuasa dalam negara dibahagikan kepada tiga iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman yang menjadi keutamaan dalam negara demokrasi, dan tidak ada mana-mana pihak boleh berkuasa tanpa mengambil kira hak kuasa lain.

“Jika benar berlaku sesuatu bertentangan undang-undang, hakim yang menentukan benar atau tidak terhadap perkara yang bertentangan dengan undang-undang. Pihak hakim tidak perlu takut apabila menjalankan tugas secara adil,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, pemilihan hakim dan jawatan tertentu juga akan diberikan kepada Parlimen untuk menapis calon-calon sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS