Malaysia Dateline

Patut beri elaun tambahan bukan kerah penjawat awam ke program parti

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim antara 10 penerima anugerah daripada parti Bersatu malam tadi.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak wajar mempolitikkan penjawat awam terutama mereka di barisan hadapan dalam mengawal penularan pandemik Covid-19, tegas Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Menurutnya, tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memanggil 10 pegawai kanan agensi kerajaan ke majlis sambutan ulang tahun parti itu di ibu negara semalam amat memeranjatkan.

“Jasa dan pengorbanan semua kakitangan kerajaan dalam berjuang mengawal penularan wabak ini harus dihargai, namun tidak sepatutnya parti politik mengambil kesempatan ini untuk manfaat politik.

“Apatah lagi parti Bersatu adalah parti pemerintah, tindakan sebegini bukan sahaja mencemar kesucian institusi penjawat awam yang seharusnya bebas daripada mana-mana pengaruh politik.

“Sebaiknya, Parti Bersatu sebagai komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) membincangkan dalam Kabinet untuk memberikan elaun tambahan kepada semua penjawat awam yang terlibat dalam barisan hadapan ini,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Malam tadi, pengarah hospital, panglima Tentera Darat dan pegawai kanan Bukit Aman antara 10 penerima Anugerah Khas Frontliner berserta sepucuk sampul berwarna putih daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka terbabit mengenakan pakaian rasmi masing-masing dalam program parti politik itu.

Tekanan politik

Mengulas lanjut, Faiz berkata, Perkara 135 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan penjawat awam memegang jawatan selama perkenan Yang di-Pertuan Agong yang membawa maksud bahawa taat setia perkhidmatan hanya kepada kerajaan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan dan parti pemerintah hendaklah dipisahkan bidang kuasanya dan dibezakan sifatnya.

“Majlis seperti ini yang mana pakaian rasmi agensi kerajaan terbabit dipakai memberikan indikasi tidak baik bahawa kerajaan PN menggunakan penjawat awam untuk tujuan politik.

“Persoalannya, adakah penjawat awam dibenarkan hadir dengan pakaian rasmi jika dijemput pula oleh parti politik lain.

“Jelas, ini satu tindakan terdesak Perdana Menteri selaku Presiden Parti Bersatu,” bidasnya lagi.

Dalam masa sama, Faiz yang juga peguam berpendapat tindakan Bersatu itu juga boleh dianggap sebagai satu tekanan politik terhadap penjawat awam untuk memberikan sokongan kepada parti tersebut.

Padahal, jelasnya, kakitangan kerajaan mesti dilihat menjalankan tugas untuk negara dan manfaat rakyat bukannya kepada parti politik.

“Kesetiaan mereka hanya kepada kerajaan dan negara dan bukannya kepada mana-mana parti politik atau pemimpin.

“Jelas, tadbir urus baik yang diamalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dilanggar oleh Perikatan Nasional,” tegas Faiz lagi.