Seniman terkenal era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid tidak dapat menahan sebak apabila tokoh politik yang dikaguminya selama ini sanggup menghantar wakil untuk bertanya khabar.
Itulah perasaan yang dialami oleh Dharma ketika Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi menziarahi rumahnya sempena program Ziarah Madani, baru-baru ini.
Pelakon berusia 66 tahun itu turut mendedahkan bahawa dirinya dahulu sering menghadiri program ceramah daripada isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika pemimpin berkenaan menjalani hukuman di penjara.
Menurut Dharma yang mula dikenali menerusi lakonannya dalam filem Adik Manja, kehadirannya dalam ceramah tersebut adalah tanda sokongannya terhadap Presiden PKR itu, lapor Malaysia Kini.
Dharma juga begitu teruja ketika anak bongsunya, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman memperlihatkan satu album di mana ia berisi gambar kenangannya bersama Anwar pada tahun 2018 lalu.
“Saya betul-betul terkejut kerana seorang pemimpin seperti Anwar berkirim salam melalui setiausaha politiknya malah menghantar wakilnya untuk menziarahi saya.
“Jadi, apabila dia (Anwar) masih mengingati serta mengenali saya yang sudah lama tidak berlakon, ia adalah satu perasaan yang menghibakan,” katanya menjelaskan punca dirinya menitiskan air mata.
Terdahulu, Perdana Menteri pada 15 Februari lalu menghulurkan sumbangan kepada dua pelakon veteran iaitu Dharma Harun Al-Rashid dan seniwati Datuk Sarimah Ahmad yang pernah menghidap kanser usus tahap tiga.
Bantuan tersebut diserahkan kepada pelakon veteran berkenaan menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi sebagai wakil yang turut menziarahi mereka berdua.
Untuk makluman, Dharma kini mengalami kesukaran dalam bertutur dan mengingati sesuatu akibat dari kesan sampingan selepas diserang angin ahmar pada 2019 lalu.
Dharma yang turut menghidap asma itu memberitahu, dirinya masih perlu mengambil ubat dan melakukan latihan untuk menguatkan memorinya seperti disarankan doktor.
Antaranya adalah dengan menonton televisyen dan video bagi mengembalikan daya ingatannya semula selain perlu menjalani rawatan fisioterapi setiap tiga bulan sekali.
Mengulas lanjut, Dharma yang dahulunya memiliki susuk tubuh sasa turut mengakui bahawa badannya kini sudah tidak lagi sekuat dulu selain mengalami kesakitan pada bahagian pinggang.
Baca juga: Tayar lama jangan buang, kitar semula ikut teknik pemuda ini, gerenti halaman rumah naik seri!