“Patutlah diam je”, Ebit Lew rupanya ada di Jeddah, balik Malaysia terus lapor polis

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama pendakwah sensasi, Ebit Lew sedang menjadi perbincangan hangat pada saat ini selepas dikaitkan dengan selebriti media sosial Indonesia, Mondy Tatto.

Mondy yang dibawa terbang ke Malaysia oleh Ebit Lew mendakwa, pendakwah itu meminta dirinya berlakon alim semata-mata untuk mencipta ‘content’ di media sosial.

Wanita bertatu tersebut turut mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah memberi bayangan bahawa Ebit Lew telah melakukan gangguan seksual terhadapnya.

Sekian lama mendiamkan diri, Ebit Lew akhirnya memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat berkaitan fitnah yang dilemparkan terhadapnya baru-baru ini.

Difahamkan, laporan tersebut dilakukan oleh pendakwah bebas yang berusia 39 tahun itu sejurus selepas mendarat di Malaysia daripada Jeddah, Arab Saudi.

Perkara tersebut disampaikan oleh pemilik nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim Lew itu menerusi satu ciapan yang dimuat naik di laman X (Twitter) miliknya.

Menerusi ciapan tersebut, Ebit Lew menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan peguamnya untuk mengambil sebarang tindakan susulan berhubung isu tersebut.

“Bismillah. Baru sampai dari Jeddah 12 malam tadi terus ke balai polis buat laporan mengenai fitnah-fitnah melampau yang langsung tidak berasas ke atas saya.

“Saya serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan. Saya juga telah menyerahkan kepada pihak peguam saya untuk tindakan selaniutnya,” ciapnya.

Tanpa mendedahkan butiran terperinci, laporan berkenaan dipercayai dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya yang terletak di USJ 8, Subang Jaya, Selangor.

Terdahulu, Mondy telah mengejutkan orang ramai selepas tampil di dalam satu acara audio siar atau sesi ‘podcast’ yang dikendalikan penyanyi rap sensasi, Caprice.

Mondy mendakwa dirinya terpaksa berhadapan dengan beberapa cubaan gangguan seksual oleh individu yang berperwatakan alim selama tinggal di Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, Mondy turut mendedahkan bahawa dirinya dipaksa untuk berpura-pura solat sebelum dirakam untuk dijadikan ‘content’ di media sosial.

Meskipun sudah cuba menolak secara baik, Mondy terus didesak oleh Ebit Lew untuk berlakon beribadah sekurang-kurangnya selama satu saat sahaja.

Baca juga: Lelaki langgar anggota JPJ rupanya tiada lesen memandu, ada 8 rekod jenayah!