Rakyat Malaysia di sekitar Lembah Klang serta di Pantai Timur paling terasa dengan bahang panas yang dikatakan boleh mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 23 Oktober lalu mengeluarkan amaran cuaca panas tahap berjaga-jaga membabitkan lapan lokasi antaranya di Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Pahang.
Cuaca panas Tahap 1 yang berlaku di tujuh kawasan di Semenanjung difahamkan berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu kurang pembentukan awan dan hujan, serta Taufan Trami.
Menurut Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Fredolin Tangang, Taufan Trami menyebabkan kelembapan diangkut ke bahagian timur ke arah taufan menjadikan kawasan di sebelah barat kekurangan kelembapan, kurang litupan awan dan keadaan panas.
Sementara itu seorang pengguna X @IzzraifHarz menjelaskan lebih lanjut bagaimana keadaan ini boleh terjadi.
Buat masa ini, Filipina kini dilanda Ribut Tropika Trami (Kristine) yang sedang bergerak kuat ke arah barat.
Kewujudan ribut ini secara tidak langsung akan menyebabkan Malaysia mengalami dua cuaca berbeza di lokasi berlainan iaitu cuaca yang agak kering di Semenanjung manakala negeri Sabah pula akan menerima hujan yang lebih kerap.
Mesti ramai yang terfikir, macam mana ribut yang berlaku di Filipina mengakibatkan Malaysia turut terkena tempiasnya?
Semasa ribut melanda Filipina, kelembapan di kawasan Semenanjung Malaysia ‘ditarik’ ke arah ribut untuk menjadikan ribut tersebut semakin kuat.
Senang kata, kelembapan itulah ‘makanan’ kepada ribut sebagai sumber kekuatannya.
Jadi disebabkan kelembapan yang ditarik itulah beberapa tempat di Malaysia mempunyai jumlah awan yang berkurangan dan mengalami suhu kering serta panas.
Walau bagaimanapun, hujan masih boleh berlaku terutamanya di sekitar Pantai Timur.
Namun, Sabah pula mengalami cuaca yang agak berbeza berbanding di Semenanjung kerana negeri tersebut adalah yang paling dekat dengan ribut berkenaan serta berada pada laluan kelempaban.
Disebabkan itu, Sabah pula menerima angin kuat, hujan berterusan dan laut bergelora oleh kerana jumlah awan yang lebih banyak.
Baca juga: Papan pemotong senang bertukar hitam? Ini cara mudah nak basuh ia, guna 3 bahan sahaja!