Malaysia Dateline

Patutlah kos bina jeti RM50,000 rupa-rupanya guna kayu RM9,000 semeter

Patutlah kos bina jeti RM50,000 rupa-rupanya guna kayu RM9,000 semeter. Heboh diperkatakan semalam apabila ramai pihak mempersoalkan pembinaan sebuah jeti kayu di Miri Sarawak bernilai RM50,000.

Menerusi gambar yang dikongsikan oleh Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada Khamis lalu, projek jeti tersebut dikenali sebagai ‘Bina Baru Jeti Kampung Mutap’ bagi menggantikan jeti lama yang telah rosak.

Bagaimanapun, rata-rata komen netizen mempersoal serta membandingkan harga yang diletak untuk menyiapkan projek berkenaan terlalu tinggi dari hasil sebenar jeti kayu sepanjang 15 meter berkenaan.

Hari ini, JKR Bahagian Miri tampil menjelaskan harga bagi pembinaan jeti kayu menggunakan kayu belian yang bermutu tinggi dan harganya pula mahal.

Dalam kenyataan JKR Bahagian Miri berkata, selain penggunaan kayu belian, pelbagai faktor perlu diambil kira.

Patutlah kos bina jeti RM50,000 rupa-rupanya guna kayu RM9,000 semeter
Papan tanda projek JKR untuk pembinaan jeti di Kampung Mutab

Antaranya ialah keadaan laluan ke Kampung Mutap, logistik dan langkah keselamatan berikutan kawasan itu dipenuhi buaya.

Menurut kenyataan itu lagi, kayu belian yang digunakan pula bernilai RM9,000 semeter, lebih rendah daripada kadar harga pasaran.

“Pembinaan jeti itu pada mulanya dicadangkan mengguna keluli tetapi disebabkan kos yang terlalu tinggi, Ketua Kampung Mutap, Sediah Abdullah menolak cadangan itu dan memilih jeti belian sebagai ganti.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga,” ujar kenyataan itu.

Ekoran tular Menjadi persoalan ramai apabila struktur jeti yang dibina menggunakan kayu dengan ukuran lebar satu meter dan panjang 15 meter itu memakan kos sebanyak RM50,000.

Melalui Facebook Corporate Communication JKR Sarawak, tempoh mula projek ini adalah pada 7 Mac 2022 dan siap lebih awal daripada jadual iaitu pada 1 April 2022.

Jeti ini dibina untuk menggantikan jeti lama yang telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

Baca juga: Selepas demo, pemaju projek perumahan di kawasan MB Terengganu masuk ke tapak binaan