Pasti ramai pernah tertanya mengapa Kedah dan negeri-negeri di Utara kebanyakannya menggunakan istilah kupang bagi duit syiling mereka dan sebagai kata ganti untuk sen serta puluh sen.
Sebutan tersebut telah sebati di dalam diri mereka sehingga terbawa-bawa ke mana sahaja mereka pergi. Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui mengenai asal-usul nama kupang ini yang digunakan dalam mata wang.
Mengimbau kembali sejarah lampau, negeri Kedah merupakan negeri yang berjaya menjalankan pentadbirannya dengan baik. Disebabkan itu, negeri Kedah berkemampuan untuk mengadakan satu sistem matawang yang teratur kerana pemerintahannya yang stabil.
Oleh itu, Kedah telah berjaya mengeluarkan beberapa jenis matawang yang diperbuat daripada emas, perak, tembaga dan timah di dalam beberapa bentuk.
Walaupun begitu, terdapat dua jenis matawang yang biasa dikeluarkan untuk peredaran iaitu Satu Mas dan Satu Kupang.
Satu Mas mempunyai berat bersamaan dengan 20 biji saga kundi bersamaan 2.5 gram manakala Satu Kupang yang lebih kecil mempunyai berat bersamaan 5 biji saga kundi bersamaan dengan 0.60 gram pada waktu ini.
Oleh itu, Empat Kupang pada masa itu bersamaan dengan Satu Mas.
Pada pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa II yang berkembang dengan pesat, matawang emas yang digunakan pada sebelumnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat dalam pelbagai urusan.
Terdahulu, pemerintahan kekandanya, Sultan Muhammad Jiwa telah menggunakan matawang berasaskan emas.
Berikutan kekurangan matawang emas, baginda Sultan Muhammad Jiwa II telah membincangkan perkara tersebut bersama pembesarnya untuk mengubah sistem matawang yang hanya bersandarkan emas.
Hasil mesyuarat itu, telah diputuskan supaya perak juga dijadikan matawang utama bagi negeri Kedah pada masa itu.
Bermula dari saat itu, matawang perak yang dinamakan Darham sudah mula ditempa. Pada waktu itu, nilai Satu Darham Perak telah ditetapkan sama dengan Satu Kupang emas.
Selain daripada itu, terdapat beberapa jenis matawang emas yang dijumpai di Kedah yang mana permukaannya bertulis ‘SULTAN’ manakala bahagian belakangnya bertulis ‘ADILIN’.
Selain daripada matawang ini, terdapat matawang emas yang lain ditemui di Kedah yang tergolong dalam jenis kupang juga.
Permukaan hadapan bagi matawang ini bertulis ‘SULTAN ADILIN’ manakala bahagian belakangnya tertulis ‘ AKBAR SHAH’.
Walaupun kupang ini pada mulanya berasal dari negeri Kedah, namun negeri-negeri berhampiran yang tergolong dalam negeri di Utara Malaysia turut menggelarkannya sebagai kupang.
Istilah kupang sehingga kini masih digunakan oleh penduduk Utara Malaysia dalam pelbagai urusan.
Sumber Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah
Baca juga: Rupanya senang je nak elak sambal merecik di dinding, ikut 7 tips ini ‘confirm’ dapur tak kotor!