Patutlah produk Khairul Aming belum ada sijil halal, ini penjelasan lengkap tuan badan

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan muda, Khairul Aming akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung isu produk keluarannya yang belum memproleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Khairul Aming yang juga merupakan pempengaruh terkenal itu memberitahu bahawa syarikat miliknya memang berhasrat untuk mendapatkan sijil pengesahan tersebut.

Namun sebelum itu, usahawan berusia 32 tahun tersebut perlu meraih pengiktirafan daripada Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dahulu.

Mengambil masa selama dua tahun, pensijilan MeSTI ini penting untuk memastikan kebersihan dan keselamatan kilang miliknya disahkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selepas proses ini selesai, barulah Khairul Aming selaku pengeluar produk Dendeng Nyet Berapi dan Sambal Nyet itu akan memulakan proses bagi mendapatkan sijil halal.

“Satu persatu dahulu. Mula-mula kami dapatkan sijil MeSTI untuk memastikan kilang bersih dan selamat oleh pihak KKM. Proses ini makan masa dua tahun lebih. Sebab, kita banngunkan kilang dari scratch (kosong).

“Bukan sehari dua nak siapkan kilang. Alhamdulillah, KKM banyak berikan bimbingan selama dua tahun lebih ini. Kita baru sahaja dapatkan pengiktirafan MeSTI pada 31 Januari lalu iaitu dua hari sebelum Dendeng Nyet dilancarkan.

“Selepas ini barulah kita dapatkan sijil Halal, diikuti dengan Good Manufacturing Practice (GMP) dan juga sijil Hazard Analysis & Critical Control Point (HACCP),” ciapnya menerusi satu hantaran di akaun X.

Menurut Khairul Aming, syarikat Rasapop Sdn Bhd yang diasaskannya itu merancang untuk mengeksport produk ke luar negara selepas berjaya meraih kesemua sijil itu.

Ulasnya, langkah-langkah tersebut dilakukan selepas merujuk dengan semua pihak yang terlibat untuk memastikan semua proses dapat berlangsung dengan lancar.

Peka dengan kerisauan orang ramai, ahli perniagaan kelahiran Kelantan itu berjanji akan sentiasa memberikan perkembangan semasa di platform media sosial miliknya.

Dalam hantaran tersebut, Khairul Aming turut memuat naik sekeping gambar yang memaparkan dirinya ketika menerima pengiktirafan daripada pihak MeSTI sebagai bukti.

Terdahulu, segelintir netizen tampil mempersoalkan mengapa Khairul Aming masih belum mendapatkan sijil halal sedangkan dua produk keluarannya laris di pasaran.

Baca juga: 3 bulan akaun bank dibeku SPRM, 100 pekerja Aman Palestin terpaksa cuti tanpa gaji