Patutlah sambal bilis cili api tak rangup, rupanya tak boleh tambah bawang jenis ini!

Oleh WAN SITI AMINAH

Sambal ikan bilis cili api merupakan salah satu jenis hidangan yang cukup sederhana namun mampu membangkitkan selera terutamanya dikala kesempitan wang.

Cukup enak dimakan dengan nasi putih panas-panas, anda pastinya merasa kecewa sekiranya mendapati sambal ikan bilis tersebut sudah lemau dan tidak lagi rangup.

Rupa-rupanya, terdapat satu bahan ‘perosak’ yang sering dimasukkan orang ramai ketika memasak sambal ikan bilis lalu menjadi punca hidangan menjadi cepat lemau.

Perkara ini dikongsikan oleh seorang wanita yang membongkarkan petua rahsia bagi memastikan masakan sambal ikan bilis cili api kekal rangup dalam tempoh seminggu.

Berikut kami sertakan bahan-bahan serta langkah-langkah dan larangan yang boleh pembaca ikuti berdasarkan hantaran tular pengguna Facebook, Nurul Nabila Zaidi.

“Ikan bilis akan rangup sampai seminggu. Rahsianya, jangan pakai bawang merah. Jika mahu pakai juga, pastikan kena goreng sampai betul-betul garing,” katanya. 

Bahan-Bahan:

  • Ikan Bilis
  • Bawang Putih
  • Cili api merah dan hijau
  • Garam
  • Ajinomoto
  • Asam keping

Cara-cara

1. Tumbuk cili padi hijau dan merah bersama bawang putih. Jika rajin, boleh tumbuk sehingga lumat. Jika tidak, tumbuk secara kasar sudah mencukupi.

2. Panaskan minyak masak dan goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan toskan minyak lalu biarkan seketika.

3. Gunakan minyak dan kuali yang sama, tumis bawang putih sampai garing barulah boleh tambah cili api hijau serta cili api merah.

4. Pastikan betul-betul garing. Yang penting, perlu pastikan bahan ditumis sampai cili api masak.

5. Kemudian masukkan garam, ajinomoto dan asam keping mengikut selera anda.

6. Apabila semua bahan sudah masak, barulah anda boleh masukkan ikan bilis yang sudah digoreng ke dalam sambal. Gaul dan siap untuk dihidang!

Baca juga: Hasil Jualan Rahmah di Negeri Sembilan cecah RM4.5 juta dalam masa 4 bulan – Exco